PHBN buka gelanggang PRK Sungai Bakap

JENTERA Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) (PHBN) membuka gelanggang ‘kempen’ Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap lebih awal apabila memulakan program Perpaduan Bermunajat.

Walaupun hari penamaan calon hanya akan berlangsung pada 22 Jun, menandakan permulaan kempen secara rasmi sehingga hari pengundian pada 6 Julai, PHBN bertindak lebih awal untuk mendekati para pengundi.

Program Perpaduan Munajat ini juga akan diisi dengan solat hajat sempena Pelancaran Jentera Perpaduan PHBN N20 Sungai Bakap.

Langkah awal PHBN menganjurkan program di kawasan yang terletak di bawah Parlimen Nibong Tebal itu menunjukkan kesungguhan PH mahu menawan semula kerusi Sungai Bakap yang pernah diwakili selama tiga penggal.

Malahan sejak kebelakangan ini pun, sudah ramai pemimpin Kerajaan Perpaduan sama ada mewakili PKR, UMNO dan DAP turun padang bagi menemui penduduk apabila secara kebetulan mereka mempunyai program berkaitan kementerian atau jabatan masing-masing di negeri itu.

Seperti kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, kunjungan menteri ke lapangan khususnya di kawasan Sungai Bakap, bukan bertujuan menabur ‘gula-gula’ bersempena PRK yang bakal berlangsung di kawasan itu nanti.

Sebaliknya, Menteri Komunikasi itu berkata, tindakan pimpinan kerajaan yang turun padang ke kawasan dan bertemu dengan rakyat sejajar dengan arahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bagi melihat dengan lebih dekat segala permasalahan yang timbul selain berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik.

Inilah kelebihan jentera PHBN dalam menghadapi PRK ini yang sudah tentu menimbulkan sedikit kegusaran kepada Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas yang mahu mempertahankan kerusi itu.

PN khususnya Pas akan lebih tertekan berbanding ketika menghadapi PRK Kuala Kubu Bharu kerana di DUN Selangor itu, PN mahu merampas kerusi sedangkan di Sungai Bakap, gabungan itu perlu mempertahankan kerusi.

Lebih mencabar apabila majoriti pengundi adalah Melayu yang sebelum PRN lalu memilih PKR selama tiga penggal dan satu penggal sebelum itu milik UMNO.

Kali ini UMNO nampaknya lebih bersedia untuk membantu PH dengan bukan sahaja Perhubungan UMNO Negeri tetapi Veteran UMNO juga sudah mengadakan perbincangan dengan PKR yang dijangka sekali lagi menurunkan calonnya.

Justeru, benarlah kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor bahawa PRK DUN Sungai Bakap itu bukan perkara kecil malahan turut mengakui gabungan itu berdepan cabaran sukar.

Ini kerana katanya, Kerajaan Perpaduan juga berhasrat untuk membuktikan slogan Madani sudah diterima rakyat menerusi PRK berkenaan.

“Jadi, untuk membuktikan (perkara) itu dia (Pakatan Harapan) hendak menanglah pilihan raya itu (kerana) dia (PH) Kerajaan Persekutuan (dan) PN di Pulau Pinang (adalah) pembangkang.

“Jadi kita pun kena bersiap sungguh-sungguh untuk mengekalkan kemenangan di Sungai Bakap,” katanya kepada media  selepas program kayuhan amal The Greater Kedah di Masjid Kampung Musa,Pedu, di sini, hari ini.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos 2023, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menang dengan majoriti 1,563 undi selepas memperoleh 15,433 undi menewaskan calon PH dari PKR Nurhidayah Che Rose yang mendapat 13,870 undi.

PN dijadualkan akan mengumumkan calon pilihannya pada 16 Jun dan pelancaran jentera akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Nnn

Related posts

Leave a Comment