KUALA LUMPUR 8 Jun – Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura mengumumkan akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 8 Zulhijah 1445 bersamaan 17 Jun 2024.
Keputusan tersebut diumumkan pihak berkuasa masing-masing selepas proses melihat anak bulan Zulhijah semalam.
Di Brunei Darussalam, Menteri Hal Ehwal Ugama, Awang Badaruddin Awang Othman selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam memaklumkan ketetapan 1 Zulhijah 1445 Hijrah pada Sabtu, 8 Jun 2024.
Beliau mengumumkan perkara tersebut sebaik sahaja selesai persidangan mengenai hasil merukyah anak bulan Zulhijah 1445 Hijrah semalam yang melibatkan lima buah lokasi untuk melihat anak bulan Zulhijah.
Sehubungan itu, Brunei Darussalam akan menyambut Hari Raya Aidiladha bagi pada Isnin, 17 Jun 2024 manakala solat sunat Hari Raya Aidiladha akan bermula pada pukul 7.30 pagi.
Di SINGAPURA, Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir mengumumkan umat
Islam di negara itu akan menyambut Aidiladha pada 17 Jun.
“Mengikut kiraan hisab berdasarkan kriteria ‘imkanur rukyah’, anak bulan Zulhijjah berada di atas ufuk Singapura selama 49 minit setelah matahari terbenam petang tadi.
“Ini bererti awal bulan Zulhijjah bagi tahun 1445 Hijrah jatuh pada Sabtu 8 Jun 2024.
“Dengan itu, sukacita saya mengisytiharkan Aidiladha jatuh pada Isnin, 17 Jun 2024,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di media sosial Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) semalam..
Nazirudin mengajak umat Islam untuk bersama-sama menyambut kedatangan bulan Zulhijjah dengan amal kebajikan serta mendoakan jemaah haji agar dikurniakan keselamatan dan ibadah haji yang mabrur.
“Hayatilah erti pengorbanan di sebalik Aidiladha dan sambutlah ia dengan penuh keihsanan,” katanya.
Sementara itu, umat Islam di Indonesia juga akan menyambut Aidiladha pada 17 Jun, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Saiful Rahmat Dasuki.
Beliau mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Isbat di Jakarta Pusat, semalam.
Dalam sidang media, Saiful Rahmat berkata, jawatankuasa itu sebulat suara memutuskan Hari Raya Aidiladha ditetapkan pada Isnin.
