KUALA LUMPUR 8 Jun – Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin akan terus kekal sebagai Presiden Bersatu dalam pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu mulai 30 November hingga 1 Disember ini.
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu bagi mematuhi ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November 2023 yang sebulat suara memutuskan Muhyiddin kekal sebagai Presiden.
Beliau berkata, keputusan itu adalah antara beberapa keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat MPT Bersatu semalam yang dipengerusikan Muhyiddin.
Katanya, Bersatu juga kekal mengikut Perlembagaan parti bagi pertandingan untuk jawatan lain, dengan calon yang mahu bertanding pada pemilihan Oktober ini perlu memohon kepada MPT selari dengan Fasal 14.14 dan 14.16 Perlembagaan Bersatu.
“Parti turut melantik Datuk Dr Radzi Jidin serta Abdullah Omar Bledram sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Putrajaya dan Ketua Bahagian (Penaja) Labuan yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengenai tujuh wakil rakyatnya yang berpaling tadah, MPT sudah memuktamadkan status enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu dan mengarahkan Setiausaha Agung mengambil tindakan susulan.
Enam Ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli); Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
ADUN Selat Klang Abdul Rashid Asari pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari.
Mesyuarat turut membincangkan banyak perkara melibatkan situasi terkini ekonomi negara, beban kos sara hidup rakyat yang tiada penyelesaian, isu penyasaran subsidi bahan api serta senario semasa politik negara yang meresahkan.
Hamzah berkata, mesyuarat turut memutuskan beberapa tarikh persidangan antaranya persidangan peringkat cawangan akan diadakan pada 30 Julai hingga 31 Ogos ini, manakala persidangan peringkat cawangan pada 12 hingga 26 Oktober ini.
Perhimpunan Agung Sayap Bersekutu dan Srikandi Muda akan diadakan pada 28 November ini, Perhimpunan Agung Sayap Armada dan Srikandi pada 29 November ini dan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 30 November hingga 1 Disember ini.
Nnnn
