NIBONG TEBAL 9 Jun- Bersatu akan membantu calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai ini kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata jentera parti itu akan berkampung di Sungai Bakap untuk membantu calon Pas sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.
“Bersatu malam ini berikrar depan (semua) pimpinan Pas bahawa kami akan berkampung di Sungai Bakap kerana calon Pas adalah calon PN.
“Kami akan berkhidmat sebagai PN dan Insya-Allah kita akan menang di Sungai Bakap pada 6 Julai nanti,” katanya berucap pada majlis Pelancaran Jentera PRK PN N20 Sungai Bakap di Pejabat Pas kawasan Nibong Tebal, di sini, malam ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor; Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan serta beberapa pimpinan tertinggi parti komponen PN.
Azmin berkata, PN memerlukan jentera yang bertenaga dan kuat untuk mengekalkan kemenangan.
Ada musuh politik melemparkan tuduhan kita ini kumpulan pelampau, ekstremis tetapi sebenarnya kita memilih jalan demokrasi kerana ini jalan yang dipilih dalam undang-undang dan Perlembagaan negara.
“Kita bukan guna parang mahupun pedang tetapi senjata yang akan kita gunakan adalah fakta dan ilmu supaya rakyat Sungai Bakap terus bangkit bersama PN dalam PRK ini.
“Tidak kira (jentera) sama ada golongan wanita, anak muda, cawangan, bahagian dan kawasan perlu kuat dan bertenaga untuk pastikan kemenangan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini manakala tarikh penamaan calon 22 Jun dan pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.
Nnn
