Jenazah Huzz selamat dikebumikan

KEPALA BATAS 8 Jun –  Jenazah wartawan hiburan popular era 1980-an hingga 90-an, Huzz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Berpusat daerah Seberang Perai Utara di Permatang Langsat, di sini malam ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Kamal Huzaini Kamaludin itu dibawa ke Masjid Abdullah Fahim untuk dimandi dan dikafankan diikuti solat jenazah selepas solat Isyak, sebelum dikebumikan kira-kira pukul 9.45 malam.

Solat Jenazah diimamkan oleh Imam Masjid Abdullah Fahim, Muhammad Izzat Matjidi yang turut disertai kira-kira 200 jemaah dan ahli keluarga.

Bernama melaporkan Allahyarham meninggal dunia di rumah abangnya di Bertam Perdana, di sini pada pukul 6.10 petang Sabtu akibat kanser usus tahap empat yang didiagnos sejak Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin yang juga adik Huzz berkata, abangnya mula tidak sihat sejak November tahun lalu tetapi tidak menyangka Allahyarham menghidap kanser usus.

“Waktu itu berat badan arwah memang turun banyak dan mendadak, dia sangka (berat turun) kerana kencing manis kerana Allahyarham memang ada sakit kencing manis, namun pada Mac ketika tinggal bersama adik perempuan saya, arwah terjatuh di rumah.

Kami bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan setelah pemeriksaan lanjut, arwah didiagnos menghidap kanser usus tahap tiga namun dalam masa singkat sudah tahap empat.

“Doktor pakar yang merawatnya tidak bercadang untuk menjalankan rawatan kemoterapi kerana keadaan badannya yang lemah,” katanya.

Nur-ul Afida berkata, selepas dibenarkan keluar dari HKL, Huzz minta untuk tinggal dengan abangnya, Kamal Hisham, di Bertam Perdana, di sini kerana isteri serta anak lelaki Kamal adalah doktor dan Allahyarham percaya penjagaan terhadapnya dapat dibuat dengan lebih baik.

Semasa berada di Bertam Perdana pada 31 Mei lalu, katanya, pihak Hospis Pulau Pinang ada datang menziarah dan membuat pemantauan ke atas abangnya dan Allahyarham juga memilih untuk berada di sini kerana mahu berehat serta berada lebih dekat dengan keluarga.

“Antara rancangan dia, arwah nak beraya Aidiladha dengan semua ahli keluarga di sini dan kami juga memang merancang begitu kerana ketika Aidilfitri lepas, Allahyarham berada di HKL dan nampaknya hasrat itu tidak kesampaian.

“Namun, kami semua bersyukur kerana arwah pergi dengan tenang dan mudah, malah selepas kematian urusan pengebumian berjalan lancar, kami adik-beradik dan ibu rasa bersyukur kerana dapat tunaikan hasrat arwah yang mahukan kami semua ada di sisinya sejak dari semalam.

“Sempat berborak walaupun ringkas tapi dia tahu kami ada dengannya,” katanya.

Nur-ul Afida berkata pada sebelah pagi hari ini, mereka termasuk Huzz berbincang untuk mengadakan kenduri doa selamat di rumah abang mereka, malah arwah mahu kenduri itu dilangsungkan dengan menggunakan wang sumbangan daripada beberapa pihak dan rakan-rakannya.

“Tapi apakan daya, kenduri itu menjadi kenduri arwah untuk Allahyarham, kami semua terutama mak memang sedih namun reda… mak nampaknya berpuas hati kerana dapat bersama-sama dia hingga saat akhir petang tadi,” katanya yang beberapa kali menahan sebak kerana sedih dengan kehilangan abangnya yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik itu.

Huzz pernah bertugas sebagai Pengarang majalah URTV di Utusan Karya Sdn Bhd dan turut popular menerusi ruangan gosip Sensasi Huzz dalam sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.

Allahyarham juga merupakan penulis lirik dan dikenali menerusi lagu nyanyian Ramlah Ram berjudul Keangkuhanmu.

Related posts

Leave a Comment