PORT DICKSON 9 Jun – Penggunaan rokok elektronik akan dikawal ketat menerusi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawal Selia di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang akan dikuatkuasakan.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ketika ini penggunaan rokok elektronik masih dikawal selia di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 buat masa ini.
“Akta dan peraturan yang berkuat kuasa bulan ini akan dilaksanakan terlebih dahulu, menjadikan produk merokok termasuk vape sebagai produk yang dikawal selia dengan ketat,” katanya selepas program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di PD Waterfront di sini, petang ini.
Dr Dzulkefly berkata, langkah lain yang boleh dilakukan termasuk mempertimbangkan mengetatkan undang-undang dan peraturan pada masa hadapan berdasarkan keberkesanan undang-undang dan peraturan sedia ada.
Beliau yang mengakui gusar dengan amalan vape dalam kalangan remaja yang semakin membimbangkan menegaskan semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengawalnya.
Mengenai cadangan pengharaman vape, undang-undang dan peraturan boleh disemak dan dipinda sekiranya perlu demi kesihatan awam.
Sementara itu, sebanyak 96,127 notis di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dikeluarkan sepanjang tahun lalu dan 38,347 notis dikeluarkan bagi tempoh empat bulan tahun ini.
Dr Dzulkefly berkata, bagi Peraturan 11(1)(d), PPKHT 2004 iaitu larangan merokok di tempat makan, sejumlah 41,581 notis kesalahan dikeluarkan tahun lalu.
Dalam tempoh tahun ini sehingga April, katanya, sebanyak 16,705 notis kesalahan sudah dikeluarkan.
Selangor negeri paling tinggi mengeluarkan notis kesalahan merokok di tempat makan iaitu 6,174 notis diikuti Pahang (5,054), Johor (3,824), Pulau Pinang (2,974) dan Sarawak (2,680).
Nnn
