Korban: Isu antara JMB dan surau

TANJONG 6 Jun – Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) tidak pernah menghalang atau menyekat pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha di negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum isu tular membabitkan halangan pelaksanaan korban di Surau Wardah yang terletak dalam kawasan Kondominium The Rise Collection 2 di Jalan Dr Wu Lien Teh, di sini, baru-baru ini.

Katanya , berita yang tular berkenaan ibadah korban dihalang itu adalah keputusan di bawah bidang kuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) kondominium berkenaan.

Bagaimanapun pihaknya berharap JMB kondominium dan pengurusan Surau Al-Wardah dapat mencapai kata sepakat yang terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut secara baik..

“Saya telah memanggil tiga wakil JMB Kondominium The Rise Collection 2 ke Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 berhubung isu berkenaan dan satu pertemuan telah diadakan pada jam 5 petang, Ahad lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pertemuan berkenaan, Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat negeri itu berkata, beliau telah memohon dan menasihati pihak JMB kondominium agar mempertimbangkan keputusan yang telah dibuat serta berbincang secara harmoni dengan Ahli Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Al-Wardah.

“Saya berharap semoga pihak JMB kondominium dan pengurusan Surau Al-Wardah dapat mencapai kata sepakat yang terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan sepucuk surat bertarikh 31 Mei 2024 yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) jabatan itu menghargai usaha pihak surau menganjurkan majlis korban namun menyatakan peraturan harta strata perlu dipatuhi sewajarnya.

JHEAIPP sehubungan itu menyarankan pengurusan surau mengadakan sembelihan korban di mana-mana masjid atau surau dibenarkan dengan pengagihan daging kepada penerima boleh dilakukan di surau berkenaan.

Terdahulu, video memaparkan kenyataan pihak jemaah Surau Al-Wardah di The Rise Collection 2 mendakwa dihalang untuk menjalankan ibadah korban di dalam kawasan terbabit tular di media sosial sejak Sabtu lalu.

Related posts

Leave a Comment