SELEPAS Kuala Kubu Bharu (KKB), kini tiba pula giliran penduduk atau pengundi N.20 Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan ‘menikmati laba’ Pilihan Raya Kecil (PRK) apabila ramai pemimpin politik terutama di pihak kerajaan ‘turun padang’.
Pastinya pelbagai bantuan dan janji akan ‘turun’ bagaikan salji putih ke Sungai Bakap yang akan mengadakan PRK pada 6 Julai susulan kekosongan mengejut berikutan kematian Nor Zamri Latiff (PN) pada 24 Mei lalu.
Mengambil kira tempoh sekarang dan hari penamaan calon 22 Jun, serta hari mengundi 6 Julai, ada lebih kurang 30 hari penduduk kawasan itu akan ‘diraikan’.
Pada masa yang sama, akan turut menikmati manfaatnya adalah para peniaga terutama pemilik restoran, gerai makan, pemilik hotel atau homestay yang akan menyambut kehadiran bukan sahaja pemimpin tetapi tukang kempen PRK.
Sejak kebelakangan ini pun sudah berduyun pemimpin yang ‘turun padang’ di Sungai Bakap sama ada secara kebetulan, ‘singgah’, sudah dalam jadual atau baharu dijadualkan untuk meninjau pelbagai masalah serta projek bagi manfaat penduduk.
Seperti kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, dakwaan bahawa menteri turun ke lapangan khususnya di Sungai Bakap susulan kawasan itu akan diadakan PRK untuk menabur ‘gula-gula’ adalah tidak berasas. Bukan kenyataan ‘luar biasa’.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, adalah menjadi tugas menteri untuk turun ke lapangan selari dengan arahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Baguslah!
Fahmi ketika muncul di Nibong Tebal dilaporkan berkata, ia bagi membolehkan mereka melihat sendiri masalah yang dihadapi rakyat seterusnya mencari jalan penyelesaian bagi isu berbangkit yang tidak dapat diselesaikan pemimpin tempatan.
Kebetulan, Fahmi berada di Pulau Pinang kerana ada kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak untuk menyampaikan jemputan Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.
Apa pun alasan yang diberi, persepsi awam, kehadiran mereka ini adalah kerana PRK. Tidak ada lain. Terima sahaja, tidak perlu dolak dalih. Itulah yang ‘diajar’ oleh pimpinan politik sejak dulu terutama mereka yang berada di pihak pembangkang.
Hakikatnya siapa juga pemerintah, itulah peranan mereka walaupun sebelum ini pihak yang pernah menjadi pembangkang sering mempertikaikan penggunaan jentera kerajaan, wang dan media arus perdana bagi kempen pilihan raya.
Justeru, inilah masanya penduduk menuntut apa sahaja keperluan terutama yang berkaitan kemudahan dan keselesaan mereka seperti jalan raya, air dan elektrik, kesihatan, pengangkutan awam, banjir, perumahan, pendidikan, kebajikan dan apa juga yang dirasakan perlu.
Jentera Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat pastinya sedia mendengar keluhan penduduk setempat terutama dalam tempoh kempen yang akan berlangsung.
Menariknya, di kawasan ini, Ahli Parlimen Nibong Tebal adalah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang juga Ketua Wanita PKR, jirannya Batu Kawan ada Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan di Bukit Mertajam ada Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaaan DAP.
Malahan PMX, Anwar Ibrahim, adalah anak Cherok To’Kun yang juga berada dalam lingkungan kejiranan Sungai Bakap.
Maka lengkaplah gandingan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada PKR & DAP yang bersedia mendengar rintihan dan keluhan pengundi. Soal undi PN atau PH, ia tetap rahsia. Tunggu sahaja hari mengundi.
Di pihak Kerajaan Perpaduan, sudah tentu PH mahu ‘mendapatkan’ semula kerusi yang sebelum ini diwakili oleh PKR selama tiga penggal menerusi Maktar Shapee (2008 – 2018) dan Dr. Amar Pritpal Abdullah (2018 – 2023).
Sebelum beralih kepada PKR, UMNO pernah memegang DUN Sungai Bakap selama satu penggal iaitu dari tahun 2004 hingga 2008 menerusi Allahyarham Abdul Rashid Abdullah yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, calon PH yang diwakili PKR, Norhidayah Che Rose tewas di tangan Nor Zamri Latiff dengan majoriti 1,563 undi.
Pada ketika itu berdasarkan rekod SPR, DUN Sungai Bakap mempunyai 38,409 pemilih dengan 59.36% (Melayu), 22.54 peratus (Cina), 17.39 peratus (India), dan 0.71 peratus lain-lain.
Bagaimanapun, Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi DUN N.20 Sungai Bakap Pulau Pinang yang akan digunakan pada PRK ini mengandungi seramai 39,279 orang pemilih, peningkatan 870 pengundi baharu.