PUTRAJAYA 6 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima sebarang petisyen berhubung keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, pada 11 Mei lalu.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata selepas kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, tidak ada petisyen dikemukakan oleh Perikatan Nasional (PN).
“Setakat ini belum ada,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada pihaknya ada menerima petisyen daripada gabungan parti itu.
Sebelum ini, Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya sedang mengumpulkan fakta dan bukti salah laku dalam PRK berkenaan sebelum mengemukakan petisyen itu kepada SPR.
Azmin yang juga Pengarah PRK Kuala Kubu Bharu PN berkata, pihaknya turut meletakkan satu tempoh sebelum petisyen itu dihantar namun semuanya tertakluk kepada pengumpulan bukti berkenaan.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan menyatakan PN akan mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya PH memenangi DUN Kuala Kubu Bharu.
PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei lalu menyaksikan PH mempertahankan kerusinya selepas calonnya menang dengan majoriti 3,869 undi.
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memperoleh 14,000 undi, menewaskan pencabarnya daripada PN, Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi; calon Bebas, Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi).
Sementara itu, ditanya mengenai persempadanan semula Sarawak, Azmi berkata ketika ini hal itu belum dibincangkan.
“Saya tidak mahu komen, setakat ini SPR belum berbincang lagi,” katanya.
Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg sebelum ini memaklumkan akan menghantar cadangan berkenaan parameter kawasan persempadanan semula bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kepada SPR.
