Tidak dipecat, Rafizi terima surat tunjuk sebab

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengesahkan menerima surat tunjuk sebab daripada PKR atas alasan beliau telah mengisytihar keluar parti menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata,, ia berkait dengan kenyataannya yang bercadang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) tetapi bukan atas tiket PKR.

Jelasnya, selagi beliau tidak menghantar surat keluar parti, atau tidak mengisytiharkan telah menyertai parti lain, maka beliau kekal sebagai anggota PKR dan Speaker Dewan Rakyat tidak boleh memecatnya dari Parlimen.

“Itu (tanding PRU-16 bukan atas tiket PKR) perancangan apabila Dewan Rakyat dibubarkan dan saya tidak lagi terikat dengan Akta Anti-Lompat Parti.

“Setelah saya tidak lagi menjadi Ahli Parlimen, memang terpulang kepada saya nak buat apa,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, bekas Menteri Ekonomi itu menyifatkan surat tunjuk sebab tersebut tidak ubah seperti `konar-konar baring’ yang ditunjukkan Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh ketika pemilihan PKR sebelum ini.

Dakwanya, ia dari segi pertukaran sistem mengundi, kepada block chain dan sehinggalah kepada keengganan membuka peti undi untuk diaudit.

Kini, ujarnya, `konar baring’ itu hendak digunakan untuk menggugurkannya dari Parlimen, walaupun beliau tidak mengisytihar keluar parti.

“Saya akan balas dan jelaskan seperti ini kepada Fuziah Salleh dan PKR. Lepas itu, kamu nak buat apa pun buatlah. Sebab saya yakin Allah melihat semuanya,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi beranggapan beliau mungkin sudah lama dipecat sekiranya berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus membandingkan keberanian Presiden PKR,  Anwar Ibrahim dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam membuat keputusan.

Dakwanya, Anwar seolah-olah berasakan ada hak supaya orang lain berkorban untuknya kerana beliau merupakan pemimpin besar.

“Bila sampai kepada kes saya, bila saya kritik dia, orang ingat dia akan tunjuk keberanian dengan memecat saya. Mana-mana pemimpin lain, dah lama akan pecat.

“Tapi Dato’ Seri Anwar dan PKR, dia nak suruh saya tolong selesaikan masalah itu bagi pihak dia. Sebab kalau dia pecat, maka saya akan kekal sebagai Ahli Parlimen.

Dia nak saya isytihar keluar, kemudian Speaker dari PKR isytihar saya bukan lagi Ahli Parlimen. Puas hati mereka, padan muka kau,” katanya.

Related posts

Leave a Comment