RIYADH: Hampir satu juta jemaah asing tiba di Arab Saudi untuk menunaikan haji tahun ini, demikian menurut Direktorat Umum Pasport (Jawazat).
Menjelang lewat Ahad lalu, sejumlah 935,966 jemaah haji tiba melalui semua pintu masuk sama ada udara, darat dan laut.
Jawazat seperti dilaporkan Saudi Press Agency menjelaskan majoriti besar jemaah tiba melalui pintu masuk udara dan bilangan mereka mencapai 896,287.
Manakala jumlah jemaah tiba melalui pintu masuk darat berjumlah 37,280, dan 2,399 jemaah lagi tiba melalui pintu masuk laut.
Direktorat itu berkata bahawa ia memanfaatkan semua keupayaannya untuk memudahkan prosedur kemasukan tetamu Allah dengan menyokong platform dalam taliannya di semua pintu masuk antarabangsa.
Menurut laporan itu, peranti teknikal terkini dikendalikan warga Saudi yang berkelayakan dan mahir dalam pelbagai bahasa dituturkan jemaah haji.
(Foto jemaah dari Sudan tiba di Pelabuhan Jeddah (Inside the Haramain))
