Lebuh raya bertingkat Juru – Sungai Dua

BUTTERWORTH 4 Jun – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan membentangkan kertas kerja berhubung cadangan pembinaan Projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua sepanjang 15 kilometer (km) kepada Kabinet untuk kelulusan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, berkata projek itu dijangka akan menelan belanja RM1.8 bilion.

Beliau berkata, pihak Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sudah selesai menjalankan bancian serta kajian berkaitan projek itu dan dibentangkan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Februari lalu untuk penelitian.

“Sekarang ini kita sudah masuk proses kedua, proses pertama adalah permohonan daripada kerajaan negeri kepada kerajaan pusat, kedua cadangan PLUS kepada UKAS dan ketiga selepas ini adalah keputusan Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Seminar Jalan Bandar @Penang 2024 di Butterworth Arena, di sini hari ini, yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Ahmad berharap projek itu akan diluluskan bagi membolehkan pembinaannya dilaksanakan secepat mungkin, seterusnya memberikan penyelesaian jangka masa panjang terhadap isu kesesakan memandangkan ia merupakan masalah utama yang perlu diatasi.

Sementara itu, Kon Yeow berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang memahami kesulitan dihadapi pengguna jalan raya yang terpaksa mengharungi kesesakan di kawasan itu terutama pada waktu puncak.

“Projek ini akan memakan masa beberapa tahun untuk disiapkan dan berkemungkinan akan berdepan dengan pelbagai cabaran memandangkan ia akan dibina di atas lebuh raya sedia ada.,” katanya.

Related posts

Leave a Comment