PARIS: Imej janaan kecerdasan buatan (AI) yang mengandungi perkataan ‘All eyes on Rafah’ (Semua mata tertumpu pada Rafah) dikongsi oleh lebih 44 juta akaun Instagram sejak Isnin selepas Israel menyasarkan serangan maut ke atas kem diduduki penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di bandar Gaza.
Imej itu memaparkan deretan khemah padat terbentang tanpa penghujung merentasi landskap padang pasir yang dibayangi kawasan pergunungan, merujuk kepada ratusan ribu rakyat Palestin yang melarikan diri ketika perang Israel-Palestin.
Pelakon Chile-Amerika Syarikat (AS), Pedro Pascal serta model terkenal berketurunan Palestin, Bella dan Gigi Hadid, bintang bola sepak Perancis, Ousmane Dembele antara selebriti yang berkongsi #tanda pagar itu di Instagram.
Slogan ‘All eyes on Rafah’ juga dikongsi secara meluas dalam penerbitan dan rangkaian sosial lain, terutamanya di platform media sosial X, di mana hashtag #alleyesonrafah menarik hampir satu juta perkongsian (hits), menurut pemantau dalam talian Visibrain.
Platform yang dahulunya dikenali Twitter, turut menyaksikan 27.5 juta mesej diterbitkan dalam tiga hari mengenai serangan ke atas bandar selatan Gaza yang bersempadan dengan Mesir, tindakan yang menimbulkan kemarahan antarabangsa.
Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, serangan Israel ke atas kem itu pada Ahad itu mencetuskan kebakaran hingga membunuh 45 orang dan mencederakan 249 mangsa lain.
Nnnn