Chean Chung ‘sudah lama berhenti’

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung sudah lama tidak aktif dalam parti itu, sekali gus menunjukkan beliau sudah tidak lagi berminat dengan PKR, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR menganggap, Chean Chung sudah lama berhenti selepas tidak hadir dalam mesyuarat parti dan juga tidak menghadiri Kongres Nasional PKR bagi tempoh lebih setahun.

“Dia dah berhenti lama … dah setahun. Dia tidak pernah hadir menyuarat. Kongres parti pun tak hadir dan tak pernah campur soal urusan parti. Jadi, sesuailah.

Kalau tak minat, tak ada masalah, pergi dengan baik dan terima kasih atas sumbangan selama ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat di Masjid Abdullah Zubair, Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Anwar bagaimanapun berkata, sumbangan Chean Chung sepanjang berada dalam parti tetap dihargai dan perkembangan berhubung kedudukannya itu tidak menjejaskan kepentingan penduduk di kawasan Parlimen Petaling Jaya

Katanya, projek pembangunan dan kemudahan untuk rakyat di Petaling Jaya termasuk sekolah, sistem perparitan, masjid, kuil serta jalan raya akan terus dilaksanakan seperti biasa dan tidak terjejas dengan perkembangan politik membabitkan ahli Parlimen berkenaan.

Ditanya mengenai kemungkinan tindakan undang-undang terhadap Chean Chung, Anwar berkata perkara itu akan diputuskan Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh.

Chean Chung sebelum itu mengumumkan peletakan jawatan tanpa syarat sebagai ahli Parlimen Petaling Jaya yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), berkuat kuasa serta merta.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas menerima keputusan penggantungan pada 30 September lalu, selain mendakwa akses terhadap peruntukan RM3 juta bagi kawasan Petaling Jaya sebelum ini disekat.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment