992 tiket tren khas Lambaian Aidiladha

KUALA LUMPUR 30 Mei – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan 992 tiket bagi perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) untuk perjalanan dari KL Sentral ke Tumpat dan sebaliknya sempena sambutan Aidiladha bulan depan.

Menerusi kenyataannya, KTMB memaklumkan, jualan tiket akan mula dibuka 10 pagi esok dengan harga bermula daripada RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala.

Tren khas ini antara inisiatif KTMB bagi menghargai penumpang setianya, di samping menawarkan pengangkutan alternatif kepada penumpang yang akan pulang ke Pantai Timur sempena Aidiladha ini.

“Ia juga sebagai tanda sokongan kepada pihak kerajaan dalam mengatasi penggunaan jalan darat yang sering kali sesak dengan kadar trafik yang tinggi, khususnya di musim perayaan,” katanya.

KTMB berkata, inisiatif ini juga khusus buat mereka yang ingin pulang ke kampung dengan selesa, selamat dengan tambang yang berpatutan.

“Kebiasaannya jalan raya akan sesak terutamanya ke Pantai Timur pada musim perayaan. Dengan tren khas ini, ia menawarkan keselesaan kepada orang ramai, kanak-kanak dan warga emas untuk pulang ke kampung, malah memberi peluang kepada pelancong yang berhasrat mengunjungi lokasi pelancongan di Pantai Timur,” katanya.

Jadual tren khas itu bermula pada 14 Jun bagi laluan KL Sentral-Tumpat dengan masa berlepas pukul 11 malam, manakala pada 19 Jun membabitkan perjalanan Tumpat-KL Sentral dengan masa berlepas pukul 10.45 malam.

Tren Khas ELA ini akan berhenti di 17 stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab,Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

Tren khas ini juga dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet, dan koc chillax.

Pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau menerusi laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB.

Related posts

Leave a Comment