RIYADH: Pemegang visa lawatan pelbagai kategori digesa mengelak perjalanan ke Makkah dalam tempoh bermula 15 Zulkaedah bersamaan 23 Mei sehingga 15 Zulhijjah bersamaan 21 Jun.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, tindakan itu selaras larangan pemegang visa lawatan menunaikan haji dan mereka yang melanggar arahan akan dikenakan hukuman mengikut peraturan ditetapkan kerajaan.
Tindakan itu adalah sebahagian daripada langkah keselamatan diambil kementerian bagi memastikan keselamatan jemaah haji yang sah, selain membolehkan jemaah melakukan ibadat dengan mudah dan selesa.
Mereka yang melakukan kesalahan boleh didenda berjumlah SR10,000 (RM12,514) termasuk warga Arab Saudi, ekspatriat dan pelawat yang ditahan memasuki Makkah tanpa permit haji dalam tempoh 2 Jun hingga 20 Jun .
Terdahulu, kenyataan Kementerian Haji dan Umrah menyebut jemaah umrah asing dikehendaki meninggalkan Arab Saudi selewat-lewatnya 29 Zulkaedah atau 7 Jun ini.
Arahan itu bagi memastikan kelancaran perjalanan jemaah haji ke kota suci Makkah dan Madinah bagi musim 1445.
Nnn
