JEDDAH – Selepas 12 tahun ‘digantung’, seramai 270 jemaah haji Syria menjadi kumpulan pertama tiba di Makkah semalam, susulan perkhidmatan haji disambung semula, menamatkan pengasingan sejak perang saudara bermula.
Syria memulakan operasi penerbangan haji terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah, dan akan diikuti lebih banyak penerbangan dalam beberapa hari akan datang.
Menurut pegawai Kementerian Pengangkutan Syria, Suleiman Khalil, ini adalah yang pertama selepas semua penerbangan penumpang antara kedua-dua negara dihentikan pada 2012.
Bagaimanapun keputusan ini hanya terpakai untuk tempoh haji dan pihak Kementerian sedang mengkaji pembukaan semula laluan udara terus
Tahun lalu, ketua hal ehwal Haji Syria berkata ibadah haji Syria akan disambung semula pada 2024 selepas 12 tahun digantung.
Arab Saudi dan Syria bersetuju menyambung semula perkhidmatan konsular pada April 2023 dan memulihkan hubungan diplomatik penuh pada Mei tahun lalu.
Pada bulan yang sama, Presiden Syria, Bashar al-Assad menghadiri Sidang Kemuncak Arab yang diadakan di Riyadh, pertama kali dalam tempoh 12 tahun, menandakan kembalinya Syria ke wilayah Arab selepas pengasingan.
Ahad lalu, Arab Saudi menamakan Dr Faisal bin Saud Al-Mujfel sebagai dutanya ke Syria, manakala duta baharu Syria, Dr Muhammad Soussan mengambil alih tanggungjawab di Riyadh pada Januari tahun ini.
Nnn
