PN kumpul bukti kemuka petisyen pilihan raya

KUALA LUMPUR 21 Mei –  Perikatan Nasional (PN) sedang mengumpul fakta dan bukti salah laku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu sebelum mengemukakan petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata arahan berkenaan dikeluarkan oleh Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin kepada semua Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi mengumpulkan fakta sebelum disemak peguam.

Azmin yang juga Pengarah PRK Kuala Kubu Bharu PN berkata, pihaknya turut meletakkan satu tempoh sebelum petisyen itu dihantar namun semuanya tertakluk kepada pengumpulan bukti berkenaan.

Seramai 16 Ketua PDM akan mulakan proses pengumpulan fakta, data dan bukti untuk diteliti peguam….dan kita akan pilih mana kes yang lebih berat untuk dikemukakan sebagai petisyen pilihan raya,” katanya dalam sidang media semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan menyatakan PN akan mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya PH memenangi DUN itu..

PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei lalu menyaksikan PH mempertahankan kerusinya selepas calonnya Pang Sock Tao, menang dengan majoriti 3,869 undi.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memperoleh 14,000 undi, menewaskan pencabarnya dari PN, Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi; calon Bebas, Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Related posts

Leave a Comment