Lee Lam Thye YB sebenar – Sultan Selangor

KUALA LUMPUR 16 Jun – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menyifatkan aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye, sebagai wakil rakyat sebenar sepanjang perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Lee sememangnya adalah Y.B. (wakil rakyat) sebenar yang juga boleh diterjemahkan sebagai Yang Bekerja atau Yang Berkhidmat. Sesungguhnya Yang Bekerja dan Yang Berkhidmat yang sebenar untuk rakyat.

“Tidak guna jadi YB dengan gelaran Yang Berhormat tetapi tidak menjalankan tugas dengan baik, hanya bercakap sahaja dan pentingkan diri sendiri,” titah baginda semasa melancarkan buku bertajuk ‘Call Lee Lam Thye – Recalling a Lifetime of Service’ di sini hari ini.

Baginda bertitah, baginda melihat sendiri betapa khidmat Lee yang mengagumkan selama bertahun-tahun berkhidmat kepada rakyat, daripada menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Nenas pada 1969 sehingga kepada Ahli Parlimen Bukit Bintang.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda gembira Lee masih terus berkhidmat kepada rakyat dan membantu orang ramai menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) walaupun dia tidak lagi menjadi ahli parti politik.

Baginda berharap Lee akan berkongsi kisah-kisahnya serta mendedahkan punca sebenar beliau mengambil keputusan untuk bersara daripada politik pada 1990.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda kagum dengan kebolehan dan kredibiliti yang dimiliki Lee sebagai wakil rakyat, sehingga beliau sanggup turun padang dan sentiasa bersedia untuk mendengar masalah serta keluhan rakyat.

Baginda bertitah Lee seorang yang arif dalam pelbagai perkara dan sentiasa membuat ulang kaji sebelum bercakap mengenai sesuatu isu, khususnya melibatkan kehidupan harian rakyat.

Selain itu baginda bertitah Lee turut mengambil berat soal haiwan jalanan dan terbiar sehingga menjadi penaung Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor.

Titah baginda Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut sering memuji dan menghormati usaha Lee dalam menjaga kebajikan haiwan terbiar.

“Atas segala usaha dan jasa baik yang beliau lakukan, saya menganugerahkan beliau Darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) pada tahun 2003. Saya percaya beliau layak menerima semua anugerah yang diberikan kepadanya sehingga ke hari ini.

Beliau sememangnya sangat prihatin dengan nasib dan masalah rakyat sehingga hari ini dan masih bersedia jika khidmat beliau diperlukan.

“Nama Tan Sri Lee Lam Thye sendiri sinonim dengan sifat mulia, suka menolong sesiapa dalam kesusahan, sehinggakan kartunis terkenal Datuk Lat menghasilkan karya yang menjadi muka hadapan buku ini,” titah baginda.

Buku setebal 312 muka surat dihasilkan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandrin yang dijual di kedai buku atau dalam talian dengan harga antara RM50 hingga RM70, mulai hari ini.

Lam Thye yang juga pengerusi Ikatan Komuniti Selamat berkata, buku terbabit adalah ilham yang dizahirkan Sultan Selangor ketika beliau sembah menghadap sebelum ini.

“Buku ini siap dalam tempoh lebih lima tahun dan menceritakan kehidupan peribadi sepanjang 53 tahun menceburi bidang politik dan aktiviti sosial.

“Kerjaya politik saya berakhir pada 1990 tetapi tanggungjawab dan komitmen kepada masyarakat dan negara masih berjalan,” katanya.

Lam Thye berharap buku berkenaan sekurang-kurangnya menjadi peringatan kepada mereka yang berkhidmat untuk rakyat supaya bertanggungjawab.

“Melalui pengalaman peribadi, sama ada di pejabat awam dan pelbagai organisasi, buku biografi ini diharap dapat memberi kesedaran terhadap kepentingan perkhidmatan kepada rakyat dan negara.

“Terus terang, saya tidak memerlukan sebarang pujian, ganjaran atau pengiktirafan. Saya tidak pernah mengidam mana-mana perkara ini.

“Namun, saya bersyukur kerana beberapa individu dan organisasi telah menunjukkan penghargaan yang ketara. Saya berterima kasih kepada mereka semua,” katanya.

Related posts

Leave a Comment