Pilihan raya Presiden Iran 28 Jun

TEHRAN: Iran menetapkan 28 Jun sebagai tarikh untuk memilih presiden baharu, bagi mengisi kekosongan selepas penyandang jawatan itu, Ebrahim Raisi terbunuh dalam nahas helikopter dinaikinya di Varzaqan, barat laut Iran Ahad lalu.

Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA), pendaftaran calon akan berlangsung dari 30 Mei hingga 3 Jun dan kempen pilihan raya ditetapkan dari 12 hingga 27 Jun.

Perkara 131 Perlembagaan Republik Islam Iran mewajibkan pembentukan sebuah majlis untuk menguruskan hal ehwal eksekutif negara untuk tempoh 50 hari dan bersedia untuk pilihan raya presiden.

Sementara itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menghantar ucapan takziah yang tulus kepada rakyat dan kerajaan Iran, dan mengumumkan hari berkabung kebangsaan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula bertafakur seminit bagi memperingati dan tanda hormat terhadap Ebrahim, ketika sesi persidangan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) semalam.

Pedro Comissario Afonso, duta PBB untuk Mozambique, yang memegang jawatan presiden bergilir UNSC pada bulan Mei, meminta ahli untuk berdiri sebagai tanda hormat kepada Ebrahim dan mereka yang terkorban dalam nahas helikopter itu.

Pemimpin dunia turut mengucapkan takziah kepada Iran termasuk Presiden China Xi Jinping yang menyifatkan ‘rakyat China telah kehilangan kawan baik’ manakala Kesatuan Eropah (EU) menyatakan ‘takziah yang tulus’.

Jiran negara Teluk Iran, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Qatar dan Oman turut mengucapkan takziah.

Setiausaha agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dianggotai enam negara, Jassem al-Budaiwi, menyebutnya sebagai ‘kemalangan tragis’.

Presiden Russia, Vladimir Putin, memuji Ebrahim sebagai ‘ahli politik yang cemerlang’ dan ‘rakan sejati Russia’ dalam surat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, berkata beliau ‘sangat sedih dan terkejut dengan kematian tragis’ Ebrahim, sambil menambah bahawa ‘India berdiri bersama Iran dalam masa kesedihan ini’.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dalam satu kenyataan berkata beliau ‘sangat sedih’ dengan pemergian Ebrahim sambil mengimbas kembali ‘perbincangan jujur’ dengan Ebrahim dan ‘hubungan mesra’ kedua-dua negara.

Pejuang Hamas, dalam satu kenyataan, meratapi Ebrahim sebagai ‘penyokong terhormat’ kumpulan pejuang Palestin itu, yang kini berperang dengan Israel di Gaza, dan memuji ‘sokongannya untuk perjuangan Palestin’.

Related posts

Leave a Comment