Kekalkan ‘peranan’ UITM – Ku Li

KUALA LUMPUR 21 Mei –  Tengku Razaleigh Hamzah berkata peranan Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu dikekalkan khususnya membabitkan hanya kemasukan pelajar Bumiputera ke universiti terbabit.

Veteran UMNO itu berkata, peranan UiTM boleh diubah sekiranya terdapat keadaan yang mendesak.

“Kalau kita bina atau tubuhkan satu-satu badan bagi sesuatu tujuan, kekalkanlah. Ada masanya kita boleh ubah kalau kita perlu ubah. Tetapi pada masa ini nampaknya keadaan tidak mengizinkan.

Jadi kita teruskanlah dengan tujuan asal, ” katanya tanpa menjelaskan lanjut keadaan apa yang membolehkan peranan UiTM diubah.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku bertajuk Ku Li : Memoir 205 yang dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Musa Hitam.

Reaksi itu adalah pandangannya berhubung pihak yang mencadangkan UiTM memperluas program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks kendalian universiti itu kepada doktor pelatih bukan Bumiputera.

Baru-baru ini, ada yang mencadangkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera, malah anggota Lembaga Parallel Pathway UiTM- Institut Jantung Negara (IJN), Raja Amin Raja Mokhtar, berkata UiTM bersetuju membuka laluan ‘sementara’ kepada pelatih bukan Bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang pembedahan kardiotoraks di universiti berkenaan.

Difahamkan UiTM satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama IJN dalam bidang kardiotoraks.

Selain itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut memohon agar UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotoraks, sama seperti mereka menerima pelajar antarabangsa sekarang.

Sususlan itu, Menteri Pendidikan Tinggi,  Dr Zambry Abd Kadir, menegaskan tiada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke UiTM sama ada di peringkat kementerian mahupun Kabinet.

Naib Canselor UiTM, Prof Dr Shahrin Sahib, juga menegaskan bahawa pengambilan sedia ada adalah kekal dan tiada perbincangan di peringkat Senat mahupun Mesyuarat Universiti berhubung kemasukan pelajar bukan Melayu ke universiti itu.

(Foto FB Ku Li)

Nnnn

Related posts

Leave a Comment