KUALA LUMPUR 21 Mei – Menyedari banyak syarikat umrah yang tidak berjaya meneruskan semula perniagaan selepas pandemik Covid-19, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), mengambil inisiatif mengadakan program Bangkit Usahawan Umrah.
Forum sehari itu berlangsung di auditorium Wisma Andalusia di sini yang dihadiri lebih 300 peserta terdiri daripada agensi dan ejen umrah tempatan serta dari Brunei dan Indonesia.
Dua penceramah ditampilkan iaitu Pengasas dan Pengerusi Richworks International Sdn. Bhd. (Richworks), Dr. Azizan Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Momentum Digital Sdn. Bhd. (Momentum Digital), Najib Assadok.
Pengarah Merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, program tersebut diadakan dengan matlamat untuk membantu syarikat umrah yang tidak berjaya meneruskan semula perniagaan selepas pandemik.
Katanya , Andalusia telah berjaya mengambil peluang daripada krisis sebegitu yang menjadikan syarikat kini semakin dikenali ramai manakala banyak juga yang tidak berjaya meneruskan semula perniagaan.
“Masalah sebegini bukan semata-mata daripada kekangan modal tetapi juga disebabkan oleh penangan digital yang melahirkan ramai pesaing yang sah dan juga tak sah yang menjadikan persaingan industri ini semakin sengit.
“Ramai juga yang terperangkap dengan ilmu perniagaan pra-Covid-19 yang semakin kurang relevan kini, buntu idea, lemah semangat dan 1,001 lagi isu termasuk scam (penipuan umrah) sehingga ada syarikat yang tutup atau hidup segan, mati pun tak mahu.
“Saya merasakan ini adalah tidak adil buat sahabat-sahabat saya semua sebab dari dulu, kita adalah rakan seperjuangan,” katanya pada program tersebut.
Justeru dengan sokongan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) dan rakan-rakannya seperti Dr. Azizan dan Najib Assadok, mereka bersetuju mengadakan forum hari ini secara percuma.
“Tidak pernah sebelum ini mereka turun padang untuk mengadakan kelas seumpama ini. Jadi ayuh kita bangkit bersama,” katanya pada perasmian program.
Turut hadir ialah Presiden Bumitra Malaysia Dr Muhamad Adam Wan Norudin, Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia, Ibrahim Mat Sin; dan Pengerusi Eksekutif, Md Daud Che Ngah.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan yang merasmikan majlis penutup program mengalu-alukan kolaborasi antara syarikat Andalusia dan Bumitra, Richworks dan Momentum Digital dalam menganjurkan program ini.
Kata beliau, ia merupakan suatu aspek yang penting dalam membangunkan industri umrah di negara ini.
“Jadi, saya mengharapkan semoga pelbagai perkongsian ilmu pengetahuan berkenaan industri haji dan umrah ini dapat terus dilaksanakan demi kesejahteraan dan kemajuan kita semua, insya-Allah,” katanya.
Nnnn
