Siapa lagi TPM jadi PM?

APABILA membaca wawancara mantan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Musa Hitam di Mingguan Malaysia (MM) hari ini, maka teringat kepada barisan mantan TPM lain sebelum ini.

Kebetulan setahun yang lalu saya menulis tajuk Anwar menanti peluang berulang. Boleh rujuk tajuk itu sama ada di selak-selak.com atau di bebasnews.my

Daripada senarai TPM ini, ada yang sempat naik menjadi Perdana Menteri (PM) dan ada yang tidak sempat sama ada meninggal dunia, meletak jawatan atau berundur dan juga yang dipecat.

Tidak ketinggalan ada yang mengakhiri jawatan TPM itu sehingga pilihan raya umum (PRU) tetapi tidak disambung jawatan TPM kerana parti tewas dan gagal membentuk kerajaan.

Dan terakhir, TPM hilang jawatan bukan disebabkan Parlimen dibubar untuk PRU tetapi akibat kerajaan terbubar.

Dalam kalangan barisan TPM ini, enam orang berjaya menjadi PM adalah Allahyarham Abdul Razak Hussein dan Allahyarham Hussein Onn, diikuti Dr. Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin.

Satu lagi fakta menarik adalah ada empat TPM yang berada di bawah PM ke-4 dan hanya seorang berjaya naik ke jawatan No.1.

Selepas PRU akan datang, agaknya siapa pula dalam kalangan ini masih berpeluang menjadi PM? Adakah Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi atau Dr. Wan Azizah?

Mungkinkah Najib Razak yang dianggap Musa antara PM yang paling berjaya dan terbaik akan kembali mengikut jejak Dr. Mahathir? Atau Muhyiddin juga boleh mengulangi pencapaian PM ke-4, Dr. Mahathir yang dilantik sebagai PM ke-7 dan PM interim?

Mungkin juga ‘muka-muka baharu’ sama ada yang sudah veteran atau orang muda. Dalam erti kata lain beri peluang kepada bakat baharu.

Untuk rekod, barisan PM setakat ini adalah enam dari UMNO dan dua dari Bersatu. Bila pula akan tiba giliran PM Pas atau PKR atau DAP?

Mungkin sementara menunggu calon-calon PM parti politik yang berkecamuk ini, bolehlah rujuk kenyataan Musa Hitam di MM hari ini dan juga Rafidah Aziz di Sinar Harian.

Cuma sekarang ini tidak ada penyandang jawatan TPM kecuali beberapa orang menteri kanan.

Related posts

Leave a Comment