ISKANDAR PUTERI 19 Mei – Kerajaan Johor mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan ekstremisme sehingga mengorbankan insan tak bendosa terutama wira negara, kata Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi.
Beliau merujuk serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram pada pagi Jumaat lalu yang mengorbankan nyawa dua wira negara selain mencederakan seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sebelum saya memulakan penggulungan seperti yang kita semua maklum, awal pagi Jumaat lalu, kita digemparkan dengan insiden yang amat mendukacitakan. Satu serangan terhadap Balai Polis Ulu Tiram telah dibuat.
Kerajaan Johor berdiri teguh bersama PDRM dalam usaha memerangi keganasan dan ekstremisme. Kita akan bekerjasama dengan semua agensi keselamatan supaya insiden sebegini tak berulang lagi di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, hari ini.
Terdahulu, Onn Hafiz turut memohon dewan bertafakur dengan menghadiahkan al-Fatihah ke atas gugurnya dua wira negara, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said.
Manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, yang parah, kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, kerajaan negeri merakamkan takziah kepada keluarga dua anggota wira negara yang terkorban dalam serangan itu.
“Bagi kerajaan negeri, saya merakamkan takziah kepada keluarga dua wira negara, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said, atas tragedi amat dikesali ini.
“Semoga roh keduanya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Kita doakan Koperal Mohd Hasif Roslan, yang masih dirawat supaya diberi kesembuhan dan pulih seperti biasa,” katanya.
