KOTA SAMARAHAN 19 Mei – Festival Makanan dan Budaya Samarahan (SFCF) mencipta sejarahnya sendiri apabila memecahkan rekod ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR) sebagai festival yang berjaya mengumpulkan jenis ulam terbanyak.
SFCF dengan kerjasama beberapa agensi dan pihak lain berjaya mengumpulkan 108 jenis ulam-ulaman dan 11 jenis sambal yang ada di Sarawak.
Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), majlis penyerahan sijil pengiktirafan disempurnakan oleh pegawai daripada MBOR kepada Pengerusi Pengelola SFCF Dr Florince Christy sambil disaksikan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Idris Buang.
Berucap sempena kajayaan luar biasa ini, Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang memberitahu bahawa kejayaan SFCF sedikit sebanyak telah membuka sinar baharu kepada makanan berasaskan ulam yang ada di Sarawak yang kebanyakkannya tidak diketahui oleh masyarakat luar.
“Setelah mendapat pengiktirafan daripada MBOR, saya dapat merasakan kita yang berada di Kota Samarahan ini khususnya Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) akan diketahui oleh dunia sekurang-kurangnya di rantau ini.
“Masih banyak yang belum tahu pasal ulam-ulaman yang ada di Sarawak termasuk saya sendiri di mana ada beberapa jenis ulam baru saya dengar pada hari ini,” jelas beliau.
Dalam pada itu katanya, festival yang mengetengahkan keunikan yang ada di Sarawak ini merupakan satu acara yang baik untuk didokumentasikan untuk tontonan dunia agar orang luar dapat mengetahui dan datang untuk merasai sendiri pengalaman mencuba perkara-perkara yang terkenal di Sarawak.
