Dos penggalak sasar varian Omicron

WASHINGTON: Panel penasihat kesihatan Amerika Syarikat (AS) setuju mengesyorkan vaksin dos penggalak Covid-19 Pfizer yang menyasarkan varian Omicron kepada mereka yang berumur 12 tahun ke atas.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat dijangka menerima pakai cadangan itu, sebagai langkah sebelum suntikan boleh dimulakan.

Panel juga mengundi untuk mengesyorkan versi kemas kini vaksin dos penggalak Moderna, untuk digunakan kepada orang dewasa sahaja.

Kelmarin , Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat meluluskan penggunaan vaksin dos penggalak Moderna dan Pfizer-BioNTech yang ditambah baik.

Langkah FDA itu meliputi pengubahsuaian ‘resipi’ suntikan dihasilkan oleh Pfizer serta Moderna yang sudah membantu menyelamatkan jutaan nyawa daripada ancaman virus berkenaan.

Pemberian dos penggalak yang diubah suai itu diharapkan dapat membendung lonjakan penularan wabak terbabit pada musim sejuk, sekali gus membantu mengekang jangkitan subvarian BA.5 Omicron yang terus merebak dengan meluas.

Menurut Pesuruhjaya FDA, Dr Robert Califf, dos penggalak yang dikemas kini itu memberi peluang untuk melangkah lebih ke hadapan daripada gelombang Covid-19 yang seterusnya.

Buat masa ini, vaksin Covid-19 sedia ada menyasarkan strain coronavirus yang asal, meskipun muncul pelbagai mutan yang amat berbeza.

Dos penggalak baharu itu membabitkan suntikan gabungan atau ‘bivalen’, dengan separuh daripadanya mengandungi ‘resipi’ vaksin asal dan separuh lagi perlindungan menghadapi versi Omicron terbaharu, iaitu BA.4 dan BA.5 yang dianggap mempunyai kebolehjangkitan paling tinggi ketika ini.

Gabungan itu bertujuan mempertingkatkan perlindungan silang menghadapi pelbagai varian.

Related posts

Leave a Comment