Bicara rentas batu halangan 15 Jun

SEREMBAN 24 Mei – Mahkamah Majistret di sini menetapkan 15 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes 19 pekerja warga asing yang didakwa atas dua pertuduhan kesalahan merentasi batu halangan (barrier) dan kawat duri pada 16 Mei lalu.

Kesemua mereka yang berusia di antara 20 hingga 42 tahun itu dituduh di dua mahkamah yang berasingan di hadapan Majistret, Mahyun Yusof dan Norzaliza Tesmin.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan Kerana Pencerobohon Jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan Kerana Perbuatan Khianat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi dan Nurul Muhaimin Mohd. Azman.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan kepada semua tertuduh di antara RM2,000 hingga RM5,000 seorang, dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia.

Pasport kesemua tertuduh ditahan dan disimpan oleh mahkamah sehingga kes tersebut selesai.

Bagi pertuduhan pertama, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 manakala bagi pertuduhan kedua boleh dipenjara tidak lebih satu tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pada 16 Mei lalu, sepasukan anggota polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai mengadakan Op Pematuhan Covid-19 di lokasi Arab Malaysian-Bukit Mahkota iaitu kawasan persempadanan pentadbiran IPD Nilai dan IPD Kajang.

Dalam operasi tersebut, seramai 19 orang warganegara asing yang datang dari arah Bukit Mahkota, Bangi ditahan kerana merentasi batu halangan (barrier) serta kawad duri yang diletakkan pihak berkuasa.

Halangan itu bagi mengelakkan aktiviti rentas daerah dan negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi daerah bersempadan.

Related posts

Leave a Comment