KUALA LUMPUR 13 Mei – Sembilan kenderaan, termasuk lima motosikal dan sebuah kenderaan polis terjejas dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang, Jalan P Ramlee di sini, petang tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, ketika mengesahkan perkara itu, berkata kenderaan polis yang terbabit sedang dalam tugas mengiring konvoi Ketua Menteri Melaka ke ibu negara.
“Kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku pada jam 3.26 petang. Tiga kereta, lima motosikal dan sebuah kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang mengetuai konvoi Ketua Menteri Melaka terbabit.
“Tiada sebarang kecederaan berlaku ke atas semua pemandu dan penumpang kenderaan yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur, mengesahkan menerima lima laporan kejadian pokok tumbang masing-masing dua laporan di Taman Gembira dan Universiti Malaya (UM) dan satu laporan di Jalan Pinang.
Di Taman Gembira, katanya, sebatang pokok dilaporkan tumbang di Jalan Rahmah yang menghalang lalu lintas dan satu pokok tumbang menimpa bumbung sebuah rumah di Jalan Selesa 1.
Di UM, pokok tumbang dilaporkan berlaku berhampiran Fakulti Perubatan UM dan menghempap sebuah kereta manakala satu lagi kejadian berlaku di Bangunan Peperiksaan UM membabitkan sebuah kereta.
Dalam kejadian di hadapan Menara British, Jalan Pinang, lapan kenderaan terjejas akibat pokok tumbang terdiri daripada tiga kereta dan lima motosikal.
Dalam semua kejadian, ia tidak membabitkan mangsa .
