KOTA KINABALU 12 Mei – Sebanyak 8,856 kes Tibi direkodkan di seluruh negara setakat 4 Mei lalu dan daripada jumlah itu 1,944 kes direkodkan di Sabah, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau mengingatkan bahawa Tibi, penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Mycobacterium Tuberculosis dan merebak melalui udara masih menjadi antara beban penyakit utama di Malaysia dan kadar statistik yang direkodkan masih tinggi.
“Kita menasihatkan orang ramai yang mempunyai tanda dan gejala seperti batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah segera mendapatkan rawatan.
“Saya juga menggesa orang ramai agar memperbetulkan salah faham dengan menganggap penyakit Tibi adalah akibat buatan manusia seperti santau kerana tanpa rawatan segera, penyakit ini boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaria, Tibi dan Kusta Sedunia 2024 di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
Ditanya sama ada jumlah kes Tibi yang tinggi di negara ini antaranya berpunca daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), Dzulkefly menyatakan pihaknya menyedari perkara itu namun isu berkaitan keselamatan serta kemasukan pendatang asing di luar bidang kuasa KKM.
“Kita tahu penyakit Tibi dibawa orang luar yang masuk ke negara ini secara haram termasuklah di Sabah yang kedudukannya terlalu hampir dengan beberapa negara jiran.
“Ini adalah cabaran besar bagi kerajaan negeri sabah dan bersama pengarah kesihatan negeri. Perkara penting bagi kami adalah menjaga kesihatan. Hal-hal seperti tidak mempunyai dokumentasi adalah ditangani oleh kerajaan melalui pihak bertanggungjawab.
“Polisi kami ialah memberikan rawatan kepada individu yang memerlukan. Mereka juga adalah potensi untuk membawa penyakit menular,” katanya.
Nnn.
