PH rampas enam PDM Melayu

KUALA LUMPUR 12 Mei –  Enam daripada lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, semalam memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Situasi itu menunjukkan PH berjaya merampas PDM berkenaan berbanding tewas di semua PDM Melayu itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, tahun lalu,

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pencapaian itu membuktikan pengundi Melayu sudah berubah sikap dan mula menyedari hakikat bahawa sentimen perkauman serta agama tidak boleh lagi dijadikan cagaran untuk meraih undi.

“Mereka mula memahami Kerajaan Perpaduan yang terbangun atas Titah Tuanku Agong ini tidak pernah sesekali meminggirkan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera, malah terus diperkasa sebagai asas kestabilan negara berbilang kaum dan agama.

Insya-Allah, UMNO sebagai antara 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini akan terus mempertahankan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera sebagaimana perjanjian yang dimeterai dan dipersetujui semua.

“Apa yang penting, landskap politik baharu ini perlu diperkasa demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat serta negara,” kata beliau melalui Facebooknya, hari ini.

Pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu, semalam, calon PH, Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi, menewaskan tiga pencabarnya, iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Sock Tao memperoleh 14,000 undi, sekali gus mempertahankan kerusi itu yang dimenangi DAP sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pada PRN tahun lalu, PH memperoleh 14,862 undi, dengan majoriti 4,119 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Susulan kemenangan semalam, Asyraf merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera UMNO, terutama Bahagian-Bahagian Selangor, termasuk jentera utama Wanita, Pemuda dan Puteri yang diketuai Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang berkampung di PDM seluruh Kuala Kubu Bharu bagi memastikan kemenangan calon PH.

Nn

Related posts

Leave a Comment