Kerajaan rawat jika vaksin ada kesan sampingan

BALING 10 Mei – Kerajaan memberi jaminan akan bertanggungjawab merawat penerima vaksin Covid-19 termasuk jenis AstraZeneca jika terbukti mengalami kesan sampingan akibat vaksin berkenaan.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kerajaan turut akan bertanggungjawab terhadap penerima vaksin daripada firma farmaseutikal lain seperti Pfizer-BioNTech dan Sinovac, jika terbukti menghadapi kesan sampingan.

Beliau berkata, kerajaan memiliki semua data berkaitan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin Covid-19

“AstraZeneca telah memanggil (tarik balik) vaksin mereka dan ini adalah (fenomena) global, apa yang kita mahu pastikan adalah kalau ada sesiapa yang ada terbukti ‘evidence base’ yang terkait dengan vaksin AstraZeneca itu kita memang punya cara untuk pastikan mereka diberikan bantuan.

Memang ada kaedah kita untuk bertanggungjawab untuk merawat mereka, dan itu jaminan yang diberikan kerajaan, kita ada data-datanya… dengan diistilah sebagai AEFI.

“Jadi kita ada data itu kalau benar dapat buktikan, kita akan berikan (dan) pastikan susulan rawatan yang teruk termasuk kita berikan segala bantuan….kerajaan akan bertanggungjawab,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya,  Badioezaman Ab Khalik dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria.

Dzulkefly berkata kerajaan turut akan bertanggungjawab terhadap penerima vaksin daripada firma farmaseutikal lain seperti Pfizer-BioNTech dan Sinovac, sekiranya turut terbukti menghadapi kesan sampingan.

Sebelum ini, firma farmaseutikal global Britain-Sweden, AstraZeneca dilaporkan menarik balik vaksin Covid-19 keluarannya di seluruh dunia.

Susulan daripada itu, Dr Dzulkefly semalam dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu penarikan balik vaksin Covid-19 berkenaan dalam masa terdekat.

Sementara itu, ditanya sama ada isu berkenaan akan mencetuskan kebimbangan dan keyakinan masyarakat terhadap vaksin, Dzulkefly berkata isu berkaitan vaksin Covid-19 itu tidak akan memberi kesan terhadap program vaksin lain termasuk Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).

Katanya, walaupun ada segelintir pihak yang sangat sensitif dengan isu vaksin, NIP yang menjadi amalan di negara ini sejak sekian lama berjaya meningkatkan imunisasi kanak-kanak serta mencegah jangkitan penyakit serius.

“Vaksin Covid-19 itu satu hal lain, kita juga ada program-program vaksinasi seperti HPV untuk menamatkan kanser pangkal rahim, kita juga ada NIP, ibu bapa yang punyai anak berasa terbantu kerana untuk mendapatkan vaksin ini mahal.

“Tidak ada pertikaian dalam hal itu, saya yakin rakyat tahu, punya pendidikan, punya pencerahan dan punya pengetahuan dan kita akan terus memberikan pendidikan kepada rakyat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment