Azam Baki sambung tugas setahun lagi

PUTRAJAYA 10 Mei – Tempoh perkhidmatan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi berkuat kuasa Ahad ini, 12 Mei 2024.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, berkata pelantikan semula Azam diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan semula YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 12 Mei 2024,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zuki berkata, pelantikan itu juga selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Ini adalah kali kedua perkhidmatan Azam disambung untuk menerajui SPRM selepas kali pertama dilantik semula ke jawatan berkenaan pada 12 Mei tahun lalu.

Azam memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali sebagai SPRM) pada 1984 dengan jawatan pertama penolong pegawai siasatan, selain pernah berkhidmat sebagai pegawai perisikan, pegawai pendakwaan, selain menjalankan tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.

Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020, menggantikan Latheefa Beebi Koya, yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Azam memegang jawatan itu ketika pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob dan Anwar Ibrahim.

Azam yang dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan mempunyai kelulusan diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ijazah Undang-undang (Jurispruden) daripada Universiti Malaya dan ijazah sarjana daripada Asia E-University.

Selasa lalu, Azam Baki tidak mahu mengulas apabila ditanya sama ada kontrak beliau yang berakhir Ahad ini akan disambung.

“Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi, …saya ada masa hingga 12 Mei ini. Itu tarikh birthday (hari lahir) saya… sesiapa nak bagi birthday gift (hadiah) boleh beri,” katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Nnn

Related posts

Leave a Comment