Keputusan SPM kekal diumumkan 27 Mei

NIBONG TEBAL  10 Mei – Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan tarikh pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 pada 27 Mei ini, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata pemilihan tarikh itu tidak akan menjejaskan perancangan cuti guru, sebaliknya bagi memastikan pelajar lepasan SPM mempunyai masa mencukupi membuat persiapan permohonan kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT).

“Guru-guru yang telah merancang percutian teruskan bercuti kerana ia tidak ada masalah, apatah lagi keputusan ini boleh diperoleh secara dalam talian.

Bagi anak-anak yang memerlukan (jauh dari sekolah mereka) boleh mendapatkannya dalam talian atau boleh pergi ke mana-mana sekolah terdekat,” katanya selepas merasmikan Karnival HIP peringkat Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rayuan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang meminta KPM mengeluarkan keputusan SPM Tahun 2023 lebih awal iaitu pada 23 Mei ini.

“Dalam hal ini (tarikh pengumuman keputusan SPM), kita mendengar semua pandangan apatah lagi yang berkait rapat dengan kesejahteraan guru. Saya tekankan kita akan kekal (tarikh keputusan) itu pada 27 haribulan ini,” katanya.

Fadhlina berkata, sesi libat urus akan diadakan dengan segera untuk memastikan tiada isu berbangkit ketika pengumuman keputusan SPM nanti.

“Apa yang kita lakukan ini adalah paling penting anak-anak kita (calon lepasan SPM) ada masa yang cukup untuk buat persiapan (kemasukan ke IPT) khususnya di peringkat (membuat permohonan dalam talian) UPU (Unit Pusat Universiti).

“Jika pihak pentadbir kena uruskan (berkaitan pengumuman keputusan SPM) masih ada masa selama tiga minggu.

“Tempoh masa ini panjang dan mencukupi bagi (pihak pengurusan sekolah) merancang dan menyelaras mekanisme pengurusan serta pentadbiran tugas berkaitan pengeluaran keputusan peperiksaan,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon merayu KPM mengeluarkan keputusan SPM Tahun 2023 lebih awal iaitu pada 23 Mei ini memandangkan guru-guru sudah membuat perancangan awal sempena cuti persekolahan yang bermula pada 25 Mei ini.

“Jika mengikut kenyataan media KPM, keputusan akan dikeluarkan pada 27 Mei, kebanyakan guru sudah berada di kampung halaman masing-masing dan ada juga guru sudah merancang percutian bersama keluarga masing-masing,” katanya menerusi kenyataan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment