Surat status 7 wakil rakyat Bersatu minggu depan

HULU SELANGOR 9 Mei –  Surat berkaitan status keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor akan dihantar minggu hadapan.

Setiausaha Agung Bersatu,  Hamzah Zainudin, berkata surat berkenaan akan dihantar secara serentak kepada semua wakil rakyat berkenaan, sejurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu selesai.

Ketua Pembangkang itu berkata, Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman yang menjadi antara wakil rakyat terawal menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim akan menjadi orang pertama menerima surat itu.

Dua lagi wakil rakyat Bersatu (Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi dan ADUN Selat Kelang, Abdul Rashid Asari) yang berceramah di pentas ceramah Pakatan Harapan (PH) (di Kuala Kubu Baharu).

“Kalau mengikut perlembagaan kita (Bersatu) secara automatik mereka (Zulkafperi dan Abdul Rashid) ini terhenti menjadi ahli Bersatu, maka kita akan bawa juga untuk buat pengesahan (di mesyuarat MPT) nanti,” katanya pada ceramah umum Perikatan Nasional (PN) malam tadi.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, parti itu kekal dengan pendirian enam Ahli Parlimennya yang menyokong pentadbiran Anwar, akan kehilangan kerusi berdasarkan pindaan perlembagaan parti itu yang sudah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Selain Suhaili dan Zulkafperi, empat lagi Ahli Parlimen yang menyokong pentadbiran Anwar ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Abdul Rashid pula menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Hamzah berkata, semua wakil rakyat terbabit perlu mengosongkan kerusi masing-masing bagi memberi laluan kepada PRK untuk diadakan selepas keahlian mereka dalam Bersatu terhenti kelak.

“Mereka terhenti menjadi ahli, maka dalam akta (lompat parti) sudah diluluskan. Maknanya kawasan mereka juga terpaksa mereka lepaskan kerusi,” katanya.

Ditanya kemungkinan ada antara wakil rakyat terbabit membawa kes ke mahkamah, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut bagaimanapun, menyifatkan tindakan itu adalah perkara biasa.

“Bila terhenti (keahlian), mereka mahu bawa ke mahkamah itu biasalah,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment