SEPANG 9 Mei – Kumpulan pertama jemaah haji KT01 bagi Musim Haji 1445H/2024M, berlepas ke Tanah Suci pukul 12.05 tengah malam ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Seramai 282 bakal jemaah tiba di KLIA pada pukul 9.05 malam tadi dari Alor Setar dan Kota Bharu dan kemudiannya menaiki penerbangan pesawat Malaysia Airlines 8050 ke Madinah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar hadir di KLIA bagi mengucapkan selamat jalan kepada Dhuyufurrahman (tetamu Allah), itu yang dijangka tiba di Madinah 3.50 pagi waktu Arab Saudi (8.50 pagi waktu Malaysia).
Turut hadir, Pengerusi TH, Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Pengarah Eksekutif Haji, Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Mohd Na’im berkata, jemaah yang terpilih mengunjungi Makkah ialah anugerah terindah dari Allah SWT bagi menyempurnakan ibadah rukun Islam kelima.
Beliau berharap semua bakal haji dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci di samping menjaga kesihatan dan kebersihan diri kerana cuaca di Tanah Suci ketika ini boleh mencecah hampir 50 darjah celcius.
Pada masa yang sama beliau menasihatkan bakal haji mengikut nasihat dan arahan TH agar semua amalan haji dapat dilaksanakan dengan sempurna dan lancar.
Seramai 31,600 bakal jemaah akan berlepas secara berperingkat dan yang terakhir dijangka pada 9 Jun depan, manakala penerbangan pulang bermula 24 Jun dan yang terakhir dijangka 21 Julai 2024.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas haji disediakan menerusi Malaysia Airlines Bhd dan Saudi Airlines.
Sementara itu, pagi ini seramai 284 bakal haji kumpulan kedua (KT02) berlepas ke Madinah pada pukul 4.37 pagi.
Nnn
