PUTRAJAYA 7 Mei – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki enggan mengulas sama ada tempoh perkhidmatannya akan disambung atau tidak.
Sebelum ini, tempoh perkhidmatan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilanjutkan selama setahun tahun lepas yang akan tamat pada 12 Mei ini.
“Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi, …saya ada masa hingga 12 Mei ini.
“Itu tarikh birthday (hari lahir) saya… sesiapa nak bagi birthday gift (hadiah) boleh beri,” katanya ditemui pada Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Azam dilantik mengetuai SPRM pada 9 Mac 2020 susulan peletakan jawatan Latheefa Koya.
Sementara itu, Azam memberitahu, SPRM akan meneliti pengumuman peruntukan dana infrastruktur ke Kuala Kubu Bharu oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, baru-baru ini.
Beliau berkata pihaknya akan melihat sama ada pengumuman itu mempunyai unsur rasuah atau tidak.
“Laporan ini akan diambil kira oleh pusat penerimaan aduan SPRM dan kita akan melihat adakah isu yang dibangkitkan itu adalah isu rasuah ataupun tidak,” katanya
Pada 18 April lalu, Kor Ming mengumumkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah memperuntukkan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menambah baik infrastruktur awam di bawah kelolaannya, untuk kesejahteraan penduduk sekitar Hulu Selangor.
KPKT dalam kenyataannya, berkata peruntukan itu membabitkan 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Daripada jumlah itu, sebanyak RM4.16 juta disalurkan melalui MPHS, manakala RM664,000 disalurkan kepada MPKK di Hulu Selangor.
Projek ini termasuk membaiki dan menaik taraf 10 unit gerai MPHS di Jalan Abdul Hamid berhadapan Pejabat Pos, Kuala Kubu Bharu; Pasar Awam Rasa, Hulu Selangor; tandas astaka Taman Tasik Millenium, Kuala Kubu Bharu; tandas Padang B Taman Tasik Millenium, Kuala Kubu Bharu dan tandas Taman Awam Jejarum di Bukit Beruntung.
Nnn
