Wan Saiful salahkan Fahmi punca kejatuhan

SEPANG 4 Mei – Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang mewakili Perikatan Nasional (PN) Wan Saiful Wan Jan mendakwa janji kerajaan PH-BN mengenai jaminan kebebasan media adalah palsu, malahan kebebasan itu dalam keadaan kritikal dan parah.

Pada masa yang sama, ketua portfolio komunikasi PN itu turut menyalahkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil susulan kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media bagi tahun ini.

Wan Saiful merujuk laporan Pertubuhan Reporters Without Borders (RSF) yang mengeluarkan Indeks Kebebasan Media 2024, yang menunjukkan Malaysia merosot 34 tangga berbanding kedudukan ke-73 pada tahun lepas.

“Bagi saya, Fahmi telah memalukan negara kerana kedudukan Malaysia di tangga ke-107 hanyalah baik sedikit saja berbanding Burundi (108), Mongolia (109) dan Zimbabwe (116). Malahan kedudukan Malaysia tahun ini lebih teruk dari Israel (101)!

“Fahmi tidak boleh dibiarkan memutar belit kata-kata untuk mencipta alasan kenapa situasi ini berlaku. Fahmi mesti mengambil tanggungjawab dan mengakui bahawa dia telah menjahanamkan kebebasan media di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Semalam, pertubuhan Reporters Without Borders (RSF) mengeluarkan Indeks Kebebasan Akhbar 2024, yang menunjukkan Malaysia merosot 34 tangga berbanding kedudukan ke-73 pada tahun lepas.

Malaysia mendapat 52.07 markah melalui lima penunjuk: politik (44.35), ekonomi (45.63), legislatif (34.04), sosial (52.62) dan keselamatan (83.72).

Untuk kali pertama dalam tiga tahun, Malaysia bukan lagi berada di kedudukan tertinggi untuk negara ASEAN apabila dipintas oleh Thailand (87).

Laporan RSF adalah berdasarkan kajian mereka mengenai pencapaian pada tahun sebelumnya. Maksudnya, laporan 2024 ialah mengenai situasi 2023, laporan 2023 ialah mengenai situasi 2022, dan begitulah seterusnya.

Wan Saiful berkata, pada tahun 2023, Malaysia melonjak ke tangga 73 hasil usaha kerajaan PN pada tahun sebelum itu manakala laporan tahun 2024 adalah penilaian terhadap setahun penuh kerajaan PH-BN, terutama kepada prestasi Fahmi sebagai menteri yang bertanggungjawab sepanjang tempoh kajian dijalankan.

“Hasil kerja Fahmi sepanjang 2023 menjahanamkan hasil kerja sebelumnya sehingga kedudukan Malaysia merudum begitu teruk,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang 2023, Fahmi memberi pelbagai alasan apabila kerajaan menyekat laman media yang mengkritik kerajaan, antaranya MalaysiaNow, Malaysia Today, TV Pertiwi, dan UtusanTV di samping membatalkan pas media rasmi Harakah.

“Bukan setakat itu, pengamal media dan aktivis media sosial ditekan dan ditakutkan dengan tindakan undang-undang sehingga membantutkan kesuburan kebebasan bersuara dalam negara kita.

Pakatan Harapan pernah berjanji untuk memberi jaminan memelihara dan meningkatkan kebebasan media di negara ini. Tetapi, apabila sudah berkuasa, media-media dicengkam dengan tindakan drakonian dan kuku besi,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment