Ada hutang tetapi bukan dengan ah long

HULU SELANGOR 4 Mei – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut mengaku ada berhutang untuk perniagaannya, namun bukannya dengan ah long.

Justeru Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor itu menyifatkan dakwaan yang  mengatakan beliau berhutang dengan ah long sebagai fitnah jahat, sama seperti  mana yang berlaku pada hari penamaan calon minggu lalu.

“Saya diserang apabila wartawan bertanyakan kepada saya mengenai sijil kelayakan akademik. Bukan saya tidak mahu komen tapi bukan masanya ketika itu dan saya tidak menipu.

Termasuk yang terbaharu ini, saya ada peniagaan sendiri dan saya rasa orang berniaga semua ada hutang. Saya ada hutang rumah, kereta dan tidak mengatakan saya tiada hutang. Yang penting bukan hutang dengan ah long.

“(Kalau) hutang dengan ah long,  kad bank (pun) dipegang, kita tidak ke mana, rumah kena simbah cat, tetapi itu bukan saya,” katanya kepada media selepas Pelancaran Wanita Gempur PN di Batang Kali, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi PN, Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Wanita PN,  Rina Harun.

Mengulas tempias diterima susulan dakwaan yang tular mengenainya, Khairul menganggap serangan peribadi yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu tidak baik untuk sistem pilihan raya negara ini.

“Pada saya serangan peribadi, caci maki calon tidak kisah daripada (pihak) mana tidak baik untuk sistem pilihan raya,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial menerusi satu hantaran yang mempersoalkan bagaimana Khairul memiliki hutang bernilai RM37,363 dengan syarikat kredit komuniti.

Mengikut hantaran yang tular itu, ada pihak yang mempertikai kewibawaan Khairul untuk dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu kerana gagal membayar hutang.

Related posts

Leave a Comment