HULU SELANGOR 2 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) akan meminta penjelasan daripada firma Farmaseutikal AstraZeneca berhubung vaksin Covid-19 yang mereka bangunkan boleh menyebabkan kesan sampingan jarang berlaku.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya akan meminta wakil daripada firma terbabit untuk membuat penjelasan dengan lebih teliti dan telus.
“Kita boleh minta wakil AstraZeneca untuk membuat penjelasan dengan lebih teliti. Saya lebih mahu kalau ia menyebut secara telus kepada semua rakyat dan media.
Mereka mesti bertanggungjawab seperti mana kita juga mesti bertanggungjawab. Tak ada apa yang mahu kita sembunyikan dan kita pertahankan mereka.
Mereka firma farmaseutikal besar dan pembuat vaksin. Mereka perlu memberikan penerangan dan pencerahan bukan sahaja kepada rakyat di negara kita, tetapi secara global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan pemeriksaan kesihatan di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.
Firma Farmaseutikal AstraZeneca sebelum ini dilaporkan mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covid-19 yang mereka bangunkan boleh menyebabkan kesan sampingan jarang berlaku.
Firma berkenaan menghadapi saman atas dakwaan vaksin yang dibangunkan bersama Universiti Oxford kerana boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.
Peguam berhujah bahawa vaksin itu menghasilkan kesan sampingan yang memberi kesan buruk kepada sebilangan kecil individu.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly turut menggesa agar semua pihak tidak cepat membuat rumusan berkait kenyataan dibuat oleh Firma Farmaseutikal AstraZeneca itu.
Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan vaksin ini mempunyai manfaat dan kebaikannya.
“Kes kesan sampingan yang berlaku itu juga adalah pada kadar kebarangkalian 0.88 peratus dalam sejuta orang. Saya minta fikirkan secara logik, pembuktian, saintifik, baik buruknya, pro dan kontra dan letakkannya dalam perspektif,” katanya.
