KANGAR 2 Mei – “Saya masih Menteri Besar Perlis,” demikian tegas Mohd Shukri Ramli, susulan wujud desakan beliau meletak jawatan berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu berkata, beliau akan terus fokus untuk menguruskan negeri dan melihat desakan untuknya berundur itu sekadar timbul dalam media sosial dan bukan di peringkat parti atau pentadbiran negeri.
“Itu hak semua sebab negara ini beri kebebasan untuk bercakap, jadi bagi ruang kepada mereka tetapi saya masih Menteri Besar Perlis.
Desakan (letak jawatan) ini sebenarnya datang daripada media sosial dan ramailah yang mahu saya berundur tetapi desakan ini tidak timbul dalam kalangan parti mahupun pentadbiran negeri,” katanya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis dan Pesuruhjaya Pas negeri itu berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shukri mengesahkan ditahan oleh SPRM Putrajaya selama lapan jam untuk diambil keterangan pada Selasa lalu.
“Saya diambil keterangan sahaja, bukan ditahan terus dan ikut peguam saya, penahanan selama sembilan jam itu hanyalah untuk membantu siasatan.
“Saya menerima siasatan oleh SPRM ini dengan hati yang terbuka, mungkin ini memberi ruang untuk saya lebih berdisiplin memastikan pembersihan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Jika ada keperluan mungkin saya dipanggil dan saya bersedia untuk itu,” katanya.
Pada Selasa lalu, Mohd Shukri ditahan SPRM Putrajaya selama sembilan jam untuk dirakam keterangannya berhubung dakwaan salahguna kuasa.
