SEPANG 2 Mei – Membawa jemaah umrah yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) penglihatan pastinya akan berdepan pelbagai cabaran tetapi disebabkan ‘keistimewaan’ mereka, perjalanan ibadah itu menjadi lebih istimewa berbanding jemaah yang normal.
Begitulah pandangan mutawif Mohd Firdaus Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Ustaz Rock, 35 yang berjaya memimpin 30 jemaah OKU penglihatan, 20 daripada mereka hilang penglihatan sepenuhnya menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.
Katanya , merekalah sebenarnya yang membuka laluan VIP ketika di Makkah dan Madinah malahan ketika membeli makanan pun (restoran ayam Al Baik) diberi keutamaan jemaah yang beratur panjang untuk membuat tempahan makanan.
“Mereka bukan beruntung mendapat saya tetapi saya yang beruntung dapat membawa mereka, saya banyak belajar daripada mereka, banyak kebaikan daripada mereka,” katanya setibanya dari Jeddah pada Selasa lalu.
Inilah kali pertama Ustaz Rock membawa jemaah OKU sejak penglihatannya selama lebih 10 tahun sebagai mutawif.
Beliau diberi tanggungjawab membawa 30 jemaah dan 10 orang pengiring yang pakej umrah itu ditaja sepenuhnya oleh Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) selama 12 hari 10 malam.
Pemilihan jemaah itu dilakukan oleh Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).
Mohd Firdaus menganggap, perjalanan umrah kali ini agak berbeza kerana melibatkan penyertaan golongan OKU penglihatan tetapi pendekatan serta layanannya sama sahaja seperti membawa jemaah lain yang normal.
Namun, secara jujur beliau mengakui tahap kerjasama serta disiplin mereka amat positif dalam mematuhi arahan serta jadual program sepanjang ziarah di Madinah dan umrah di Makkah.
Ketika melakukan ibadah itu, tular video yang dimuat naik oleh Andalusia yang menyentuh perasaan warganet yang memaparkan Mohd Firdaus memimpin golongan itu melakukan tawaf umrah wajib yang mengundang lebih 9 juta penonton.
Malahan video itu turut menyentuh hati Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar apabila melihat mereka menunaikan ibadah tawaf dan umrah.
Dr Mohd Na’im turut mengucapkan tahniah kepada Andalusia atas keprihatinan tinggi menaja 30 orang jemaah umrah OKU Penglihatan dan berharap ia akan menjadi contoh kepada syarikat pengendali jemaah umrah yang lain.
Dalam pada itu Ustaz Rock memberitahu, Andalusia tidak membuat sebarang permohonan kepada pihak berkuasa di sana untuk mendapatkan layanan istimewa, tetapi semuanya terjadi secara spontan apabila mereka melihat jemaah OKU penglihatan terbabit berjalan berpimpin tangan dalam satu kumpulan yang besar.
Mereka tawaf seperti biasa tanpa mengguna tali atau kain untuk mengikat jemaah sebaliknya untuk pegang erat antara satu sama lain dan berjalan bersama-sama tanpa berpisah.
Menceritakan detik berada di Masjidilharam, seperti jemaah normal, beliau meminta semua jemaah tunduk dalam perjalanan menuju ke Kaabah walaupun mereka tidak mampu melihat sekeliling.
“Apabila saya cakap Kaabah sudah di depan mereka, semua menangis. Tangisan mereka bersungguh hingga membuatkan saya juga menangis,” katanya.
Di hadapan Kaabah, hasil tinjauan yang dibuat, mereka bukan meminta penglihatan dikembalikan tetapi memohon akan kebaikan di akhirat dan mereka juga berpeluang mendekati dan memegang Kaabah.
Untuk rekod mereka berjaya melakukan tiga kali umrah dengan niat miqat dilakukan di Bir Ali iaitu perjalanan dari Madinah di samping miqat Masjid Ja’ranah, kira-kira 24 kilometer dari Makkah dan Qarnul Manazil, perjalanan pulang selepas melawat Taif.
Di Madinah pula, layanan istimewa juga diperoleh ketika memasuki Raudhah dengan kelebihan berada di saf hadapan dan diberi masa lebih lama di samping berada di laluan paling depan ketika ziarah makam Rasulullah SAW.
Mengenai perkongsian video ibadah OKU itu yang tular dan mendapat tontonan ramai, Mohd Firdaus berharap perkongsian itu menjadi asbab pada saham akhirat mereka dan pada masa yang sama mencetus semangat kepada orang lain, para mutawif dan agensi umrah untuk melayan tetamu Allah dengan baik.
“Kita tak sangka perkara ini menjadi tular kerana bagi saya ini adalah amanah yang perlu saya galas dalam menjalankan tugas, seperti mana saya bawa jemaah-jemaah lain sebelum ini, sama juga ketika saya bawa mereka dari Pertis ini, layanan saya pun sama, tiada yang berbeza.
“Cuma merekalah yang membuat perjalanan umrah ini menjadi istimewa,” katanya.
Nnnn
