PUTRAJAYA 25 April – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yakin keengganan MCA turun berkempen bagi membantu calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu tidak akan mengganggu jentera Kerajaan Perpaduan di kerusi itu.
Katanya fokus utama Kerajaan Perpaduan kini adalah memberi kemenangan buat calon, Pang Sock Tao, malah Barisan Nasional (BN) turut akan membantu usaha itu.
“Tidak menganggu (MCA tidak turun) Hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN adalah terasnya. BN akan membantu dan kita fokus di lapangan.
“Kita ada calon yang bagus. Malam tadi di Kuala Kubu Bharu, Datuk Seri Ahmad Maslan juga bagi approval (lulus terhadap calon). Ini fokus jentera dan kita bersatu-padu,” katanya selepas Majlis Madani Muhibah Aidilfitri, di pekarangan Kementerian Komunikasi serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Sebelum ini, MCA menyatakan tidak akan turun berkempen bagi PRK Kuala Kubu Bharu sekiranya tiada wakil BN dicalonkan di DUN itu.
Semalam, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sock Tao diumumkan sebagai calon DAP mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini.
Pada masa sama, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, Kerajaan Perpaduan mempunyai calon berwibawa, iaitu seorang wanita muda yang berdedikasi, berkeluarga dan mempunyai banyak pengalaman berikutan pernah berkhidmat dengan dua menteri sebelum ini.
Nnn
