Kertas siasatan komentar jelik nahas helikopter

KUALA LUMPUR 25 April – Polis mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Twitter Saifuddin Shafik berhubung komentar jelik susulan nahas dua helikopter ketika menjalani latihan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Mohd Shuhaily Mohd Zain, siasatan di bawah seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, siasatan telah dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas bahagian pendakwaan / Undang undang (D5) JSJ Bukit Aman

“PDRM telah membuat rampasan satu unit telefon bimbit jenis Iphone 12 Pro yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran tersebut. Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan, seorang pengamal media arus perdana meminta polis mengambil tindakan terhadap seorang pengguna media sosial yang mengeluarkan komentar jelik berhubung nahas dua helikopter itu.

Wat Kamal Abas, 51, berkata tindakan itu dianggap melampau dan tidak menghormati sensitiviti keluarga yang masih dalam keadaan sedih akibat kehilangan ahli keluarga akibat tragedi berkenaan.

“Perkataan biadap seperti itu sepatutnya tidak dikeluarkan ketika ramai rakyat khususnya keluarga mangsa sedang dalam kesedihan kerana kehilangan ahli keluarga,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang terlibat di samping cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment