Tiada pihak jadi sasaran perjanjian

ANKARA – Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah yang dimeterai Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan tidak menyenaraikan Iran sebagai ancaman bersama dan tidak diwujudkan untuk menyasarkan mana-mana pihak.

Justeru Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata, perjanjian itu tidak ditujukan kepada Iran atau mana-mana negara lain.

Jumaat lalu,perjanjian itu ditandatangani Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.

Menerusi perjanjian tersebut, serangan bersenjata terhadap salah sebuah daripada tiga negara itu akan dianggap sebagai serangan terhadap kesemuanya.

“Kami tidak menetapkan sebarang ancaman bersama secara bertulis. Negara yang tidak menyerang mana-mana pihak yang menandatangani perjanjian ini tidak akan dianggap sebagai sasaran,” kata Fidan.

Perjanjian itu secara teknikal mempunyai persamaan dengan Artikel 5 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), yang menetapkan bahawa serangan terhadap satu negara anggota dianggap sebagai serangan terhadap semua anggota.

Namun, beliau berkata, bentuk respons akan bergantung kepada situasi yang berlaku.

Menurutnya, negara yang diserang perlu memohon bantuan serta menjelaskan bentuk sokongan yang diperlukan, sama ada perkongsian risikan, bantuan logistik, bekalan peluru mahupun penempatan aset dan anggota tentera.

Selain itu, pakatan tersebut akan menubuhkan jawatankuasa politik dan ketenteraan yang menghimpunkan menteri luar, menteri pertahanan serta ketua angkatan tentera ketiga-tiga negara, selain sekretariat tetap yang berpusat di Arab Saudi.

Negara anggota juga akan bekerjasama dalam latihan ketenteraan, perkongsian risikan, logistik, penilaian ancaman serta meningkatkan keserasian operasi ketenteraan.

Kerjasama dalam industri pertahanan turut dijangka menjadi komponen penting perjanjian berkenaan.

Fidan turut mendedahkan rundingan bagi memuktamadkan perjanjian itu telah berlangsung hampir dua tahun lapan bulan, sekali gus menunjukkan ia bukan dirangka semata-mata sebagai reaksi terhadap ketegangan semasa melibatkan Iran.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment