Hafizul didakwa cuba bunuh isteri

SEPANG 25 April – Selepas menghadapi tujuh pertuduhan di Kota Bharu semalam, Hafizul Hawari yang terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, dua minggu lalu, didakwa lagi atas dua pertuduhan.

Dia dituduh cuba membunuh isterinya, Farah Cie dan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi, di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Hafizul, 38, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim.

Mengikut dua pertuduhan itu, pengurus syarikat agensi pelancongan berkenaan didakwa cuba membunuh ahli perniagaan, Farah Cie, 38, dan mencederakan sehingga parah terhadap pengawal peribadi di aras tiga KLIA, pada jam 1.09 pagi, 14 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 dan 326 kanun Keseksaan.

Semalam Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, atas tujuh pertuduhan, iaitu memiliki pistol, peluru, mercun bola, tiga MyKad milik individu berbeza dan memandu kereta jenis Honda Civic menggunakan nombor pendaftaran palsu, berdekatan sebuah hospital swasta daerah itu, pada pukul 2 petang, 15 April lalu.

Dia tidak dibenarkan untuk diikat jamin bagi pertuduhan memiliki pistol, peluru dan mercun bola, tetapi diberi ikat jamin berjumlah RM20,000 bagi empat pertuduhan lain.

Mahkamah itu turut membenarkan tertuduh dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh dan menetapkan sebutan semula pada 23 Mei depan.

Pada 14 April lalu, seorang lelaki bertindak nekad melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi wanita itu di Balai Ketibaan KLIA, di sini.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Suspek kemudiannya melarikan diri sebelum diberkas pihak polis di Kota Bharu, sehari kemudian.

Related posts

Leave a Comment