Siasatan kes pembinaan LCS masih berterusan

GUA MUSANG 25 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menghentikan siasatan berhubung kes pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS), kata Ketua Pesuruhjaya SPRM  Azam Baki.

Beliau berkata ketika ini, siasatan kes itu sedang berada pada peringkat SPRM menghubungi pihak-pihak berkaitan di luar negara, bagi mengambil keterangan.

“Saya menafikan dakwaan pihak-pihak luar yang mendakwa siasatan kes LCS dihentikan, sedangkan siasatan kes ini masih aktif diteruskan,” katanya selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Gua Musang yang baharu di tingkat 1, Bangunan Persekutuan daerah itu, di sini, hari ini.

Menurut Azam, SPRM juga sedang membuat permohonan Bantuan Undang-undang Bersama (MLA) melalui pihak Jabatan Peguam Negara untuk beberapa permohonan dokumen dan bukti yang dikehendaki SPRM.

Azam berkata kes LCS mengambil tempoh masa yang lama untuk menyiasatnya, kerana perlu mengesan jejak wang selain terdapat beberapa individu dalam kes itu yang telah dituduh.

“SPRM tidak akan mencampuri hal pentadbiran LCS, yang mana melibatkan kerajaan dalam urusan melaksanakan projek ini seperti bajet yang diberi untuk LCS.

“Siasatan SPRM berpandukan dan berfokus pada salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku di dalam LCS,” katanya.

Diminta mengulas mengenai isu pembelian kapal selam Scorpene, Azam berkata siasatan kes berkenaan masih berterusan dan tidak pernah dihentikan.

Katanya, ketika ini SPRM masih lagi berhubung dengan pihak-pihak berkaitan di luar negara bagi mendapatkan maklumat dan keterangan berhubung beberapa transalsi yang dijalankan.

“Alhamdulillah, ada petanda-petanda positif dari pihak luar negara yang memberikan permohonan (dokumen dan bukti) yang dikehendaki kami,” katanya yang akan maklumkan hasil dapatan siasatan kes berkenaan apabila telah lengkap.

Pembelian dua kapal selam Perancis itu dilakukan pada 2002 ketika bekas Perdana Menteri Mohd Najib Razak yang menjadi menteri pertahanan ketika itu.

Najib menyelia pembelian dua kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN, bernilai hampir EUR1 bilion (US$1.17 bilion).

Kapal selam itu yang dinamakan Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak itu, masing-masing tiba di Malaysia pada September 2009 dan Julai 2010.

Sementara itu, SPRM juga akan menumpukan penyiasatan terhadap isu pembinaan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya, yang bernilai RM25 juta yang melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau menjelaskan, sebenarnya pembiayaan sebanyak RM25 juta datang daripada pihak FIFA, bukan duit FAM.

“FAM cuma menjalankan perolehan melalui tender dan sebagainya, dan telah dikemukakan kembali kepada FIFA untuk pemilihan yang terakhir dan pihak FIFA telah bersetuju dengan syarikat yang berkaitan,” katanya.

Justeru, Azam berkata isu ini bukan sahaja melibatkan FAM malah FIFA juga kerana ia melibatkan duit mereka.

“Oleh itu, bagi memuaskan hati mereka yang membuat tohmahan isu ini, untuk adil kepada semua pihak maka kami siasat isu berkenaan,” katanya.

SPRM katanya tidak akan mengambil tindakan berhubung permasalahan pentadbiran yang berlaku di dalam organisasi itu, contohnya hal berkaitan gaji dan sebagainya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment