Amaran bubar DUN Johor

BUBAR Dewan Undangan Negeri. Itu amaran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bagi menzahirkan rasa kecewa baginda susulan kemelut politik yang masih berlanjutan di negeri itu.

Menerusi muat naik status di akaun media sosial baginda, Sultan Ibrahim bertitah masih ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri.

“Saya berasa amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini, apabila ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi  kepentingan diri mereka.

“Dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat.

“Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan. Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa.

“Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta.

“Saya akan berikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu, dan saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri,” titah baginda.

Baginda mengakhiri muat naik status tersebut dengan sepotong hadis Rasulullah SAW:

Rasulullah ditanya tentang mereka yang meminta untuk memegang kepimpinan lalu Rasulullah bersabda:

“Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya, dan bukan pada mereka yang tergila-gilakan jawatan kepimpinan.”

(Sahih al-Bukhari, no: 7149)

Related posts

Leave a Comment