PN teliti syarat terkandung dalam MoU

KUALA LUMPUR 18 April  – Perikatan Nasional (PN) akan meneliti terlebih dahulu syarat terdapat dalam draf memorandum persefahaman (MoU) yang sedang dirangka Kerajaan Perpaduan berkaitan peruntukan untuk Ahli Parlimen (AP) pembangkang.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin berkata sebagai pembangkang, PN hanya akan membuat keputusan selepas draf MoU terbabit diteliti.

“PN menyambut baik keputusan yang dibuat kerajaan bagi memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Bagaimanapun, PN selaku pembangkang akan membuat keputusan selepas meneliti terlebih dahulu syarat dalam draf MoU yang sedang disiapkan kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan dilaporkan pada dasarnya bersetuju mempertimbangkan untuk menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya petang semalam.

Sehubungan itu, Fadillah berkata satu draf MoU akan dirangka terlebih dahulu dan dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.

Sementara itu, di HULU SELANGOR, Ketua Whip Parlimen DAP Nga Kor Ming dilaporkan berkata, peruntukan yang bakal disalurkan kepada wakil rakyat pembangkang adalah tertakluk kepada terma dan syarat.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata keputusan itu bagaimanapun belum lagi membincangkan mengenai syarat-syarat tersebut.

“Peruntukan (kepada wakil rakyat pembangkang) itu diberi tertakluk kepada syarat dan terma yang akan dibincangkan.

“Kita perlukan pembangkang bertanggungjawab dan bukan asyik hanya memainkan isu sentimen tidak membina yang merugikan negara kita,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Kuala Kubu Bharu dekat sini hari ini.

 

 

Nnn

Related posts

Leave a Comment