Anwar rai ulang tahun kelahiran Musa

JOHOR BAHRU 18 April –  Anwar Ibrahim meraikan negarawan, Musa Hitam, bekas Timbalan Perdana Menteri yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-90, hari ini.

Perdana Menteri hadir ke jamuan makan tengah hari, yang turut meraikan ulang tahun Musa yang turut dihadiri Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi dan kepemimpinan negeri.

Dalam catatan Facebooknya, Anwar berkata, Musa adalah mantan Timbalan Perdana Menteri dan merupakan sosok yang teguh dengan prinsip dan integriti, selain menjadi watak yang gigih meneguh perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Menyambut dan meraikan tokoh dan juga negarawan Tun Musa Hitam bersama isteri hari ini di Johor Bahru. Tun Musa menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-90 hari ini. Alhamdulillah, orangnya masih bertokoh dan segak,” katanya.

Musa yang dilahirkan pada 18 April 1934 ialah Timbalan Perdana Menteri kelima negara dari 1981 hingga 1986 di bawah Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada pukul 12.10 tengah hari, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di Iskandar Puteri, di sini.

“Saya ucapkan selamat ulang tahun kelahiran buat Tun Musa Hitam. Semoga Tun terus sihat dan terus memainkan peranan menyemarak perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment