Telefon tiga individu disita

SEPANG 18 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyita telefon bimbit milik tiga individu selepas merakam percakapan pemilik akaun media sosial berkenaan.

Mereka adalah Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), dan Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) yang percakapan dirakam di Ibu Pejabat MCMC Cyberjaya, sementara Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) di Balai Polis Setapak.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, bagi membantu siasatan, pihaknya juga menyita telefon bimbit milik ketiga-tiga individu tersebut yang telah digunakan untuk memuat naik video.

“Penyebaran kandungan tidak benar dengan niat mengganggu pihak lain adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Setelah selesai siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut,” kata kenyataan SKMM.

Kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.

Related posts

Leave a Comment